Ingatkan Kereta, Rupanya Tandas! BMW-i Pertama Malaysia Dibuka Di Putrajaya
Dengar nama BMW-i, mesti ramai terbayangkan kereta mewah dari Jerman. Tapi kali ini, BMW-i yang diperkenalkan di Malaysia bukanlah kereta elektrik, sebaliknya sebuah tandas awam pintar!
Ya, tandas pun dah makin canggih sekarang.
Tandas pintar pertama Malaysia yang dikenali sebagai BMW-i, singkatan kepada Bersih, Menawan dan Wangi Pintar, telah dirasmikan di Dataran Putra, Putrajaya pada Selasa (13 Oktober).
Kemudahan itu diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai usaha menjadikan tandas awam lebih bersih, selesa dan mudah diselenggara.
Apa yang menarik sangat tentang tandas BMW-i ini?
Berbeza daripada tandas awam biasa, kemudahan baharu ini dilengkapi pelbagai teknologi automatik.
Antaranya sistem flush yang berfungsi secara automatik, pili air dan dispenser sabun tanpa sentuhan.
Malah, tandas ini turut mempunyai sistem pewangi pintar yang menggunakan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) bagi membantu mengawal bau yang kurang menyenangkan.
Bukan itu sahaja, sensor khas turut dipasang untuk memantau kualiti udara, paras ammonia, suhu, kelembapan dan pencahayaan.
Kalau lantai basah pula, ada sistem pengeringan dan pembersihan automatik.
Kiranya, bukan setakat tandas yang nampak cantik. Teknologi di dalamnya juga direka untuk memudahkan kerja penyelenggaraan.
Satu lagi ciri menarik ialah sistem pengiraan jumlah pengguna dan indikator yang menunjukkan sama ada kubikel sedang digunakan atau kosong.
Turut disediakan ialah panel maklum balas digital untuk pengguna serta aplikasi mudah alih yang membolehkan petugas menjejak kerja pembersihan.
Maklumat berkaitan penyelenggaraan pula boleh dipantau melalui papan pemuka digital.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, penggunaan teknologi ini membolehkan tahap kebersihan tandas dipantau dengan lebih sistematik dan berterusan.
Ini mungkin bahagian yang paling menarik perhatian.
KPKT menetapkan kos pembinaan setiap tandas pintar BMW-i tidak melebihi RM1 juta.
Bagaimanapun, jumlah itu bukan semata-mata untuk mangkuk tandas atau peralatan di dalamnya.
Menurut Nga, kos berkenaan merangkumi keseluruhan pakej termasuk kelengkapan, landskap, pelantar tinjau, infrastruktur dan sistem teknologi yang digunakan.
Dalam erti kata lain, ia melibatkan pembangunan sebuah kemudahan awam lengkap, bukannya membeli sebuah tandas dengan harga RM1 juta.
KPKT menyasarkan sekurang-kurangnya sebuah tandas pintar BMW-i diwujudkan di setiap ibu negeri seluruh Malaysia.
Selepas Putrajaya, projek ini dirancang untuk diperluaskan ke Kuala Lumpur sebelum diperkenalkan di bandar lain seperti Ipoh, George Town, Kuching, Kota Kinabalu dan Johor Bahru.
Sejak 2023, sebanyak 11,835 tandas awam dan sekolah di seluruh negara turut dilaporkan telah dibina atau dinaik taraf mengikut standard Bersih, Menawan dan Wangi.
Daripada jumlah itu, 1,592 melibatkan tandas awam manakala 10,243 lagi ialah tandas sekolah.
Memang menarik apabila tandas awam mula menggunakan teknologi pintar.
Cuma satu perkara yang tak boleh dilupakan, tandas secanggih mana sekali pun tetap memerlukan penyelenggaraan yang konsisten dan sikap pengguna yang bertanggungjawab.
Kalau pengguna tidak menjaga kebersihan, teknologi mahal pun belum tentu dapat menyelesaikan semuanya.
Apa pun, kemudahan BMW-i di Putrajaya ini mungkin menjadi permulaan kepada perubahan cara tandas awam diuruskan di Malaysia.
Yang penting, janganlah tandas saja pintar. Pengguna pun kena bijak jaga kebersihan.
