Gambar Hiasan

Kekosongan 1,176 Jawatan Pemandu KKM Dijangka Berlarutan Hingga April 2027

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) kini berdepan kekurangan 1,176 pemandu kenderaan, termasuk pemandu ambulans di seluruh negara.

Kekurangan itu menyebabkan beban tugas pemandu sedia ada semakin meningkat dan dijangka berterusan sehingga enam bulan lagi, iaitu hingga April tahun depan.

Menurut KKM, situasi berkenaan berpunca daripada kelewatan pengisian jawatan Pembantu Khidmat Am (Pemanduan) susulan penangguhan sementara urusan pengambilan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 2024.

Penangguhan itu dibuat bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu.

“Melalui sistem baharu ini, skim perkhidmatan pemandu kenderaan di bawah Sistem Saraan Malaysia, digabungkan ke dalam skim perkhidmatan yang baharu iaitu Pembantu Khidmat Am (Pemanduan), bawah klasifikasi Perkhidmatan Kemahiran (H).

“Perubahan ini memerlukan penelitian rapi pada syarat kelayakan bagi memastikan calon yang diambil benar-benar sesuai dan kompeten dengan fungsi pemanduan, terutama untuk membawa ambulans.

“Skim baharu ini juga menggalakkan peluasan skop tugas, kemahiran pelbagai dan pelaksanaan pelbagai tugas,” katanya dalam maklum balas terhadap laporan pendedahan BH baru-baru ini.

KKM menjangkakan proses pengisian kekosongan jawatan Pembantu Khidmat Am (Pemanduan) di fasiliti kesihatan awam seluruh negara akan dilaksanakan secara berperingkat mulai April 2027.

Sehingga 30 September tahun ini, kementerian itu mempunyai 8,863 jawatan Pembantu Khidmat Am (Pemanduan), namun hanya 7,687 daripadanya telah diisi.

Berdasarkan data KKM, Semenanjung Malaysia mencatatkan jumlah kekosongan tertinggi dengan 1,003 jawatan, diikuti Sarawak sebanyak 92, Sabah (73) dan Labuan (8).

Bagaimanapun, kementerian memaklumkan unjuran pengisian jawatan perlu mengambil kira kekosongan semasa, persaraan, penyusutan jumlah pegawai serta keperluan operasi setiap fasiliti.

“Berdasarkan status urusan pengambilan bersama SPA, permohonan pengisian masih di dalam tindakan SPA dan Ujian Kompetensi Pemanduan (UKP) baru selesai pada 27 Oktober lalu.

“Pengisian akan dibuat secara berperingkat mulai April 2027, tertakluk kepada penyelesaian urusan pengambilan oleh pihak SPA,” katanya.

Selaras Keperluan Tugas

Dalam pada itu, KKM berkata pelaksanaan SSPA turut mewujudkan keperluan untuk menyelaraskan skop tugas dan penempatan bagi mengasingkan tanggungjawab yang bertindih antara Pembantu Khidmat Am (Pemanduan) dengan Pembantu Khidmat Am (Am).

Sekiranya Pembantu Khidmat Am (Am) sedia ada diperlukan untuk menjalankan tugas pemanduan di sesebuah kemudahan kerajaan, kebenaran berbuat demikian bergantung kepada pertimbangan Jabatan Kesihatan Negeri atau ketua jabatan.

Bagaimanapun, pelaksanaan itu tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, ujian pemanduan serta tahap kompetensi individu terbabit.

“Bagi Pembantu Khidmat Am (Pemanduan), ia membabitkan fungsi skim Pemandu Kenderaan sebelum SSPA dengan tumpuan kepada tugas pemanduan dan penjagaan kenderaan jabatan, termasuk ambulans di pusat penempatan masing-masing.

“Tugasan Perkhidmatan Khidmat Am (Am) pula tertumpu kepada pelaksanaan tugas sokongan am mengikut keperluan jabatan, merangkumi antaranya pegawai daripada skim Pembantu Operasi dan Pembantu Awam sebelum pelaksanaan SSPA,” kata kementerian itu.

KKM memberikan maklum balas berkenaan susulan laporan BH pada 16 Oktober lalu yang mendedahkan kekurangan pemandu ambulans di semua fasiliti kesihatan kerajaan, meskipun perolehan sebanyak 400 ambulans baharu diumumkan menerusi Belanjawan 2027.

Dalam laporan sama, Presiden PEMATA-KKM, Reostam Dzahar, menggesa kementerian itu supaya segera menangani kekurangan pemandu di fasiliti kesihatan awam bagi memastikan ambulans baharu dapat beroperasi dengan lancar.

Reostam berkata, kekurangan pemandu ketika ini menyebabkan beban kerja yang berlebihan sehingga ada dalam kalangan petugas mengalami kelesuan melampau atau ‘burnout’ kerana terpaksa bekerja melebihi had masa yang ditetapkan.

Sumber : Berita Harian Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *