Gambar Utusan Malaysia

Kerjasama BN-PN Bawa Kemenangan Besar, Kini Diteruskan Dalam Pentadbiran Negeri

AYER KEROH: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang membawa kepada kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diteruskan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr. Ab. Rauf Yusoh berkata, kerjasama itu memberi peluang kepada PN untuk memainkan peranan dalam pentadbiran negeri, termasuk kemungkinan melantik wakil gabungan berkenaan sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Menurut beliau, kesepakatan BN dan PN bukan sahaja menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan besar gabungan itu, malah membuktikan kerjasama politik mampu menyatukan sokongan daripada pelbagai pihak.

“Itu (lantikan wakil PN dalam Exco) bergantung kepada pertimbangan saya. Pastinya setiap kemenangan itu akan membuahkan hasil.

“Jadi hasilnya akan dituai bila buah pokoknya berbuah. Insya-Allah,” katanya pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi penggal kedua di Seri Negeri semalam.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan hasrat supaya wakil PN turut diberikan tempat dalam barisan Exco kerajaan negeri sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan.

Keputusan PRN Melaka ke-16 menyaksikan kerjasama BN dan PN memperoleh majoriti lebih dua pertiga selepas memenangi 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Daripada jumlah itu, BN memenangi 21 kerusi DUN, manakala PN memperoleh tiga kerusi.

Mengulas lanjut, Ab. Rauf berkata, kerjasama dan permuafakatan antara BN dan PN berjaya mengukuhkan lagi majoriti kemenangan gabungan itu pada pilihan raya kali ini.

“Ya juga. Salah satu daripada faktor-faktor menyumbang kemenangan besar kerana muafakat ini menunjukkan satu kesepakatan yang memberikan ruang kepada orang yang tidak berparti, sama ada Pas ataupun UMNO ataupun mana-mana parti politik yang bergabung untuk bersama-sama menyokong satu muafakat.

“Ini dijadikan satu kekuatan dan menunjukkan bahawa kalau kita bersepakat, kita berpadu, kita bersatu, hasilnya apa yang kita dapat lagi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tarikh pelantikan anggota Exco, Ab. Rauf berkata, perkara itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Bila saya lantik (Exco) esok saya akan panggil. Dia dekatnya tidak sejauh jaraknya tidak sedepa,” katanya.

Mengulas kemungkinan kerjasama dengan parti lain, Ab. Rauf berkata, BN terbuka untuk mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama sekiranya ia mampu memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat dan negeri.

Beliau berkata, setiap cadangan akan dinilai berdasarkan manfaat yang boleh diperoleh berbanding kemungkinan mudarat yang mungkin timbul.

“Kalau kita mempunyai satu manfaat yang lebih baik daripada mudarat, kita boleh pertimbang dan kita boleh terima. Tidak ada masalah,” katanya.

Terdahulu, Ab. Rauf sekali lagi diberikan mandat untuk menerajui kerajaan negeri selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi penggal kedua.

Ab. Rauf, 65, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Seri Negeri pada pukul 12.10 tengah hari semalam.

Majlis angkat sumpah itu berlangsung susulan kejayaan gabungan BN dan PN membentuk kerajaan negeri dengan memperoleh 24 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus membolehkan mereka menguasai dewan berkenaan dengan majoriti dua pertiga.

Sumber : Utusan Malaysia Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *