KLCC merupakan simbol ikonik Malaysia. - Foto Agensi

Menara ‘KLCC’ Bukan Hanya Di Malaysia

NEW DELHI – Keunikan seni bina Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur terus mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila mercu tanda Malaysia itu menjadi inspirasi pembinaan replika di beberapa lokasi luar negara, termasuk India dan Indonesia.

Terbaharu, sebuah replika menara berkembar berkenaan dibina di Kalyanpur, daerah Munger, Bihar, India sempena sambutan perayaan Durga Puja pada Oktober 2026.

Menurut laporan media tempatan TV9 Hindi dan Amar Ujala, struktur sementara setinggi kira-kira 52 meter itu dibangunkan dengan kos dianggarkan 30 juta rupee (kira-kira RM1.2 juta).

Replika KLCC menghiasi lokasi sambutan Durga Puja di India. – Foto Agensi

Replika berkenaan menampilkan dua menara yang dihubungkan dengan jambatan, menyerupai reka bentuk Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur.

Pembinaannya melibatkan puluhan tukang mahir dari beberapa negeri termasuk Jharkhand dan Bengal Barat, manakala pekerja dari Delhi serta Uttar Pradesh menghasilkan hiasan kaca dan sistem pencahayaan.

Struktur itu dibina menggunakan bahan seperti buluh, kayu dan kain, selain dilengkapi lampu diod pemancar cahaya (LED), pancuran air buatan serta pertunjukan laser bagi menarik perhatian pengunjung.

Penganjur dilaporkan memilih bangunan ikonik dunia sebagai tema tahunan bagi memeriahkan sambutan keagamaan yang mempunyai sejarah lebih 360 tahun di kawasan berkenaan.

Sementara itu, pembinaan replika Menara Berkembar Petronas bukan sesuatu yang baharu di India apabila struktur serupa pernah menjadi tarikan sempena sambutan Durga Puja di Kalyani, Bengal Barat pada September 2022.

Menara Berkembar Petronas di Kalyani, Bengal Barat. – Foto Agensi

Menurut laporan India Today, replika setinggi kira-kira 45 meter itu dihasilkan menggunakan kaca, papan lapis dan kayu serta dihiasi sistem pencahayaan.

Kira-kira 70 pekerja terlibat dalam pembinaan struktur berkenaan yang menjadi antara tarikan utama pengunjung sepanjang perayaan itu.

Pada 2019, sebuah lagi replika Menara Berkembar Petronas setinggi 27 meter turut dipamerkan sempena Pameran Pengguna Kebangsaan di Bengaluru.

Menurut Times of India, struktur selebar 12 meter itu menggunakan kira-kira 50 tan keluli dan disiapkan dalam tempoh sebulan dengan penglibatan hampir 40 pekerja.

Replika berkenaan turut dilengkapi pencahayaan pada waktu malam bagi menghasilkan gambaran yang menyerupai menara asal.

Di Indonesia, sebuah struktur yang menyerupai Menara Berkembar Petronas di Pantai Lhokseudu, Aceh pernah mencetuskan perhatian pengguna media sosial pada Mei 2023.

KLCC di Indonesia. – Foto Agensi

Menurut laporan Metro TV Indonesia, gambar struktur itu yang tular di media sosial mengundang pelbagai pandangan mengenai sumber inspirasi reka bentuknya.

Sebahagian pengguna menyifatkannya sebagai replika mercu tanda Malaysia, manakala pihak lain berpendapat binaan itu lebih menyerupai Candi Prambanan, kompleks candi Hindu terkenal di Indonesia.

Bagaimanapun, sumber inspirasi sebenar struktur berkenaan tidak dapat dipastikan secara rasmi.

Menara Berkembar Petronas yang berketinggian kira-kira 452 meter dan mempunyai 88 tingkat merupakan antara mercu tanda seni bina terkenal dunia.

Pembinaan replika di beberapa negara itu mencerminkan pengaruh reka bentuk mercu tanda Malaysia berkenaan yang terus mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Sumber: Agensi

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *