Menyamar Pengawal Peribadi Diraja Sejak 2024, Suspek Tipu Mangsa RM700,000
SHAH ALAM – Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang didakwa menyamar sebagai pengawal peribadi sulit Raja Muda Selangor bagi melakukan penipuan sejak 2024, dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM700,000.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, anggaran kerugian itu dibuat berdasarkan sembilan laporan polis yang diterima setakat ini berhubung kegiatan penipuan berkenaan.
Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek utama berusia 40 tahun itu bukan kakitangan istana dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Institusi Diraja Selangor.
“Mengikut laporan polis, kegiatan penipuan ini dilakukan sejak 2024,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Jumaat.
Shazeli berkata, suspek dipercayai mengambil kesempatan dengan menggunakan nama serta imej yang mempunyai kaitan dengan keluarga diraja bagi memperdaya mangsa.
“Dia tidak mempunyai kaitan dengan Institusi Diraja Selangor atau kakitangan istana. Suspek hanyalah orang biasa yang mengambil kesempatan untuk melakukan penipuan,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Bagaimanapun, polis menerima sebanyak 19 laporan yang mempunyai kaitan dengan lelaki berkenaan, termasuk beberapa laporan yang dibuat di kontinjen polis lain.
Susulan itu, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Norizuana Saidin di talian 014-7175567,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Shazeli memaklumkan polis turut menahan tunang suspek bagi membantu siasatan.
Wanita berusia lingkungan 30-an yang bekerja sebagai pengusaha salon itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Kita juga sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai membantu kegiatan suspek lelaki itu,” katanya.
Sebelum ini, polis membuka siasatan selepas menerima laporan daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan Selangor di Istana Mestika pada 15 Oktober lalu berhubung dakwaan penyalahgunaan gambar Raja Muda Selangor.
Terdahulu, Pentadbiran Istana Selangor menegaskan bahawa pihaknya tidak akan melindungi mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan penyamaran atau penyalahgunaan nama institusi diraja.
Sumber : Sinar Harian Online

