Gambar Online

Mustapha Sakmud Tekankan Kepentingan Angkat MA63 Sebagai Agenda Nasional

KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI berjaya menyelesaikan 12 daripada 29 perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam tempoh empat tahun pentadbirannya, sekali gus mencatatkan pencapaian terbaik dalam pelaksanaan perjanjian itu sejak sedekad lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan pelaksanaan MA63 terus diberi perhatian dan diangkat sebagai agenda nasional.

Beliau berkata, antara perkembangan yang dicapai setakat ini termasuk pewartaan Pemberian Khas interim Sabah pada kadar RM1.5 bilion setahun, pelancaran Dashboard MA63 bagi memudahkan orang ramai membuat semakan serta permulaan libat urus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen.

Menurutnya, penganjuran Karnival MADANI Kenali Borneo yang bermula di Melaka turut membuka peluang kepada lebih ramai rakyat memahami sejarah pembentukan Malaysia serta kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook pada malam Selasa.

Sempena empat tahun Kerajaan MADANI, Mustapha turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepadanya untuk berkhidmat dalam tiga portfolio berbeza.

Katanya, pengalaman bermula sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia, kemudian Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan kini sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) memberinya peluang untuk mendengar sendiri keperluan rakyat serta membawa suara mereka ke peringkat Persekutuan.

Ketika berkhidmat di Kementerian Sumber Manusia, beliau terlibat dalam libat urus bagi pindaan Ordinan Buruh Sabah yang kini menyediakan perlindungan lebih baik kepada pekerja, termasuk cuti bersalin selama 98 hari, cuti paterniti bagi yang layak serta waktu kerja biasa selama 45 jam seminggu.

Sementara itu, ketika berada di Kementerian Pendidikan Tinggi, antara usaha yang diberi perhatian ialah membantu anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian, memperluas capaian program Jom Masuk U, memperkasakan hak mahasiswa serta menyediakan ruang kepada golongan siswa menyuarakan pandangan menerusi forum TALK TO US.

Mustapha berkata, segala pencapaian yang direkodkan menjadi peringatan untuk dirinya agar terus bekerja dengan lebih keras dan berkesan.

“Masih banyak yang perlu diselesaikan agar rakyat dapat merasakan islah atau reformasi yang dibawakan oleh Kerajaan MADANI,” katanya.

Sumber: Harian Metro

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *