Pelan Tujuh Hari Iran Sasar Tamatkan Perang Dan Pulihkan Laluan Selat Hormuz
TEHERAN – Iran sedang mengadakan perbincangan dengan pihak perantara bagi meneliti pelaksanaan pelan tujuh hari untuk menamatkan perang di Asia Barat dan membuka semula Selat Hormuz, kata Menteri Luarnya, Abbas Araghchi, pada Rabu.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika ancaman Amerika Syarikat (AS) dan Israel untuk melancarkan semula serangan terhadap Iran semakin meningkat susulan perang yang dimulakan kedua-dua negara itu pada Februari lalu.
“Ketika Angkatan Tentera kita yang berani bersiap sedia sepenuhnya untuk mempertahankan tanah air, Iran terus memberi peluang kepada diplomasi untuk mencapai kejayaan.
“Kami terus berhubung rapat dengan pihak perantara bagi meneliti cadangan yang boleh memastikan pelaksanaan Pelan Tujuh Hari kami dalam tempoh kurang daripada seminggu,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Pada September lalu, Iran mengemukakan pelan tujuh hari itu kepada AS menerusi Qatar.
Araghchi ketika itu berkata, Selat Hormuz akan dibuka semula dalam tempoh tujuh hari sekiranya syarat yang diperlukan dipenuhi, termasuk pelaksanaan gencatan senjata di seluruh Asia Barat.
Iran turut menuntut pembekuan asetnya di luar negara ditamatkan, sekatan terhadap sektor minyaknya ditarik balik serta sekatan laut yang dikenakan AS dihentikan.
Laman berita Axios melaporkan pada Rabu bahawa pihak perantara serantau yang diketuai Qatar sedang berusaha mencapai perjanjian diplomatik bagi menyambung semula rundingan antara AS dan Iran, selain menghalang perang daripada tercetus semula selepas pilihan raya pertengahan penggal AS pada 3 November ini.
Laporan yang memetik sumber dari AS, Israel dan beberapa negara lain di rantau berkenaan itu menyatakan Qatar sedang berusaha memujuk Iran supaya membenarkan pemeriksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melawat tapak nuklearnya yang dibom, sebagai balasan kepada sedikit pelonggaran sekatan oleh AS.
Satu delegasi Qatar mengunjungi Teheran pada Ahad bagi membincangkan perkembangan semasa, termasuk rundingan terkini, Selat Hormuz dan bekalan tenaga, menurut pihak Iran.
Sejak perang tercetus, Iran mendakwa menguasai Selat Hormuz dan berulang kali menyasarkan kapal yang cuba melaluinya tanpa kebenaran negara itu. Sementara itu, AS mengenakan sekatan laut sebagai tindak balas terhadap pelabuhan Iran.
Bagaimanapun, usaha diplomatik untuk menyelesaikan krisis berkenaan masih menemui jalan buntu, khususnya selepas perjanjian pada Jun yang menggariskan laluan ke arah penyelesaian kekal gagal dimuktamadkan.
Sumber : Utusan Malaysia Online

