Penghuni Pusat Pemulihan Di Bukit Kuda Dibawa Keluar Tanpa Kebenaran
SHAH ALAM – Polis mengesahkan sekumpulan penghuni melarikan diri dari sebuah pusat pemulihan dadah dan alkohol yang terletak di Bukit Kuda, Klang, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol, berkata pihaknya menerima laporan daripada pemilik pusat berkenaan pada 28 Oktober lalu berhubung kejadian itu.
Menurut laporan, premis tersebut didatangi sekumpulan lelaki dan wanita sebelum mereka membawa keluar beberapa penghuni tanpa mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan pusat berkenaan.
Bagaimanapun, Ramsay berkata, jumlah sebenar penghuni yang terbabit masih dalam siasatan dan pihak polis akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa.
“Hasil siasatan mendapati pusat pemulihan itu adalah milik persendirian,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan berkaitan pencerobohan jenayah. Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Ramsay turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam serta mengganggu siasatan polis.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menerusi talian 03-3291 9614, balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Amirul Ashraf Abd Rahim di talian 011-69730086.
Sumber : Berita Harian Online

