Gambar Hiasan

Penjawat Awam Berdepan Tindakan Tatatertib Kes Penipuan Majlis Kahwin RM1 Juta

IPOH – Seorang penjawat awam berkemungkinan dikenakan tindakan tatatertib susulan dakwaan penipuan urusan perancangan majlis perkahwinan yang membabitkan 73 laporan polis dengan jumlah kerugian dianggarkan hampir RM1 juta.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata kes berkenaan berlaku tahun lalu, manakala lelaki berusia 31 tahun itu didakwa di mahkamah pada 8 September lalu.

Menurutnya, polis menerima 73 laporan berkaitan kes tersebut, namun pihak pendakwaan memutuskan untuk meneruskan pendakwaan terhadap suspek menerusi satu pertuduhan sahaja.

“Selepas berbincang dengan pihak pendakwaan, diputuskan bahawa lelaki itu berdepan satu pertuduhan,” katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Alwi berkata, laporan-laporan lain dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna untuk tindakan lanjut kerana majlis perkahwinan terbabit masih belum berlangsung ketika kejadian itu berlaku tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kerugian yang dilaporkan dianggarkan hampir RM1 juta.

Tambahnya, lelaki berkenaan masih berkhidmat sebagai penjawat awam, manakala prosiding tatatertib oleh jabatannya sudah dimulakan. Antara tindakan yang boleh dikenakan ialah penggantungan tugas.

“Proses mengambil tindakan di peringkat jabatan terhadapnya masih berjalan,” katanya.

Beliau turut menafikan spekulasi bahawa lelaki itu merupakan anggota polis, sebaliknya menjelaskan bahawa suspek ialah penjawat awam yang berkhidmat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Dia bukan anggota polis. Dia bekerja dengan JPA,” katanya.

Kes berkenaan baru-baru ini menjadi tular di platform Threads selepas satu hantaran mendakwa lelaki terbabit menipu beberapa pasangan dengan mengambil wang yang diperuntukkan untuk urusan perkahwinan mereka.

Penulis hantaran itu turut memaklumkan bahawa mereka sedang berusaha mendapatkan maklumat mengenai keberadaan lelaki berkenaan.

Beberapa individu yang mendakwa menjadi mangsa turut berkongsi pengalaman masing-masing di ruangan komen, termasuk tekanan kewangan dan emosi yang terpaksa ditanggung akibat kejadian itu.

Seorang pengguna mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM23,000, namun setakat ini hanya menerima bayaran balik sebanyak RM50.

Seorang lagi individu yang mendakwa menjadi mangsa berkata, dia kehilangan wang simpanan berjumlah RM12,000 yang dikumpul sedikit demi sedikit untuk membiayai majlis perkahwinannya.

Mereka turut mendakwa ahli keluarga terpaksa mengeluarkan wang tambahan bagi menampung perbelanjaan majlis resepsi susulan kejadian berkenaan.

Seorang lagi pengguna mendakwa mengalami kerugian RM20,000 dan berkata beban kewangan itu masih dirasai ketika ulang tahun pertama perkahwinannya semakin hampir.


Sumber : Metro Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *