‘Tidak Akan Berjaya Tanpa Kesetiaan Isteri Di Sisi’ – Syed Saddiq Hargai Bella Astillah
MUAR – Kenduri Rakyat di Muar bukan sekadar meraikan pasangan pengantin baharu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah, malah menjadi momen istimewa buat mereka menghargai sokongan serta doa orang ramai.
Ketika berucap di hadapan tetamu yang hadir, Syed Saddiq meluahkan rasa terima kasih kepada isterinya yang disifatkan sentiasa setia berada di sisi. Beliau turut menghargai kesanggupan orang ramai dari pelbagai lokasi yang datang bagi meraikan mereka.
Menurut Syed Saddiq, kebahagiaan yang dikecapi ketika ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa doa orang ramai dan kesetiaan Bella yang terus memberikan sokongan kepadanya.
“Perkara ini tidak akan berlaku tanpa doa kalian. Pada masa yang sama, ia juga tidak akan berjaya tanpa kesetiaan isteri berada di sisi saya,” katanya.
Ahli politik itu turut menyifatkan kehadiran Bella sebagai isteri menjadikan hari istimewa mereka lebih bermakna, lebih-lebih lagi selepas sekian lama isterinya berulang-alik ke Muar.
“Dah masuk tahun kedua, saya rasa mungkin dia dah tak ingat berapa kali dia dah turun ke Muar. Tetapi, insya-ALLAH, takkan penatlah turun ke Muar berkali-kali.
“Tapi buat pertama kali ni, sebagai isteri saya, selepas ini insya-ALLAH…” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq mengakui tidak menyangka majlis berkenaan menerima sambutan begitu menggalakkan sehingga ada tetamu yang sanggup menunggu sejak pukul 6 pagi.
Lebih menyentuh hati, terdapat pengunjung yang datang dari Perlis, Kedah dan Terengganu, malah ada yang menaiki penerbangan dari Kuching serta memandu dari Singapura untuk bersama-sama meraikan majlis itu.
“Kami terhutang budi. Terima kasih. Kami menyusun sepuluh jari, memohon maaf kalau ada kekurangan.
“Taklah kita sangka ada yang menunggu sampai pukul 6 pagi, sampai pukul 2 tadi,” katanya.
Menyedari terdapat tetamu yang terpaksa menunggu lama di bawah panas terik, Syed Saddiq berkata beliau meminta supaya ucapannya dipendekkan agar dapat meluangkan lebih banyak masa bersama orang ramai.
“Saya dah minta kebenaran isteri saya untuk ringkaskan dan padatkan ucapan ini kerana saya, kalau boleh, nak lebih luangkan masa dengan rakyat dan mereka yang menunggu di bawah panas terik berjam-jam,” katanya.
Beliau turut memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang majlis berlangsung dan berharap kebahagiaan yang dirasai mereka dapat dikongsi bersama orang ramai.
Sementara itu, Bella turut merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir dan memohon maaf atas sebarang kekurangan daripada pihak mereka.
“Terima kasih kerana datang dan minta maaf atas banyak kekurangan daripada pihak kami. Tapi kami cuba yang terbaik,” katanya.
Pelakon dan penyanyi itu turut menegaskan bahawa majlis berkenaan diraikan bersama-sama orang ramai yang hadir memberikan sokongan kepada mereka.
“Percayalah bahawa majlis hari ini, semuanya kita raikan bersama-sama dengan anda semua. Kami hargai kehadiran anda semua dan insya-ALLAH, nanti kita berjumpa,” katanya.
Sambutan menggalakkan itu bukan sahaja memeriahkan hari bahagia mereka, malah menjadi ruang untuk menghargai doa, kesetiaan dan sokongan yang mengiringi perjalanan hidup mereka bersama.
Terdahulu, pasangan yang dikenali dengan akronim BASS itu sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam majlis yang berlangsung di Menara Merdeka Maybank pada 10 Oktober lalu.
Mereka kemudian diraikan dalam majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang dihadiri 3,000 tetamu.
Selain itu, satu lagi majlis turut dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, pada 31 Oktober ini.
Sumber : SinarPlus Online

