Foto Astro AWANI

Tunku Muhriz Titah Ismail Lasim Teruskan Khidmat Sebagai Menteri Besar

SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan Datuk Ismail Lasim supaya meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar seperti biasa.

Ismail berkata, perkara itu dimaklumkan oleh baginda ketika sesi menghadap yang berlangsung di Istana Hinggap, di sini pada Jumaat.

“Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menitahkan dalam sesi menghadap tadi agar saya meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi memastikan kesinambungan pentadbiran serta kepentingan rakyat dan negeri ini terpelihara.

“Sehubungan itu, saya akan terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh komitmen dan dedikasi,” katanya ketika sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini pada Jumaat.

Menurut Ismail, beliau mengakui pelantikannya sebagai Menteri Besar adalah atas perkenan Tuanku Muhriz dan beliau telah mengangkat sumpah di hadapan baginda pada 2 Ogos lalu.

Beliau turut menjelaskan bahawa aku janji yang dibuat di hadapan Tuanku Muhriz adalah atas kerelaannya sendiri.

“Alhamdulillah, saya telah diberi perkenan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz untuk meneruskan tugas-tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Oleh itu, saya Datuk Ismail Lasim yang telah dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan melalui surat cara di bawah tandatangan dan mohor negeri Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan telah mengangkat sumpah di hadapan Duli Yang Maha Mulia pada 2 Ogos 2026, selanjutnya memberikan aku janji ini atas kerelaan saya,” katanya.

Sumber : Sinar Harian Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *