Sumber: WhatsApp

WhatsApp Kini Benarkan Mesej Dihantar Secara Automatik Mengikut Jadual

MENLO PARK – Aplikasi pemesejan WhatsApp mula memperkenalkan ciri penjadualan penghantaran mesej secara berperingkat kepada pengguna di seluruh dunia dalam tempoh beberapa minggu akan datang, lapor Amanz.

Menerusi ciri baharu itu, pengguna boleh menetapkan penghantaran mesej secara automatik pada waktu tertentu, antara 10 minit hingga 14 hari lebih awal, tanpa perlu memastikan peranti kekal dalam talian atau dihidupkan ketika waktu penghantaran.

Fungsi berkenaan turut menyokong penghantaran teks, foto dan video bagi perbualan individu serta kumpulan, selain dilindungi teknologi penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption).

Menurut WhatsApp, pengguna hanya perlu menaip mesej seperti biasa sebelum menekan dan menahan butang hantar untuk mengakses pilihan penjadualan.

Pengguna kemudian boleh menetapkan tarikh dan masa penghantaran mengikut keperluan, selain menyemak atau memadam mesej yang telah dijadualkan sebelum ia dihantar.

Mesej yang diterima pula akan dipaparkan seperti mesej biasa tanpa sebarang petunjuk bahawa ia telah dijadualkan lebih awal.

Sehubungan itu, pengguna disarankan mengemas kini aplikasi WhatsApp kepada versi terkini bagi menikmati fungsi berkenaan sebaik sahaja ia tersedia pada peranti masing-masing.

Sumber: Astro AWANI

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *