Warganet ‘Jatuh Cinta’ Dengan Pengawal Peribadi Jelita China
BEIJING – Seorang pengawal peribadi wanita China mencuri perhatian selepas menerima penghargaan daripada Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, atas khidmat mengiringi dan menjaga keselamatan pemimpin itu sepanjang lawatan ke Shenzhen bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), minggu lepas.
Pengawal peribadi yang dikenali sebagai Xu Jin itu tular di media sosial selepas Sheinbaum berkongsi gambar mereka menerusi platform berkenaan pada Sabtu.
Menerusi hantaran itu, Sheinbaum merakamkan penghargaan kepada Jin atas sokongan dan khidmat keselamatan yang diberikan sepanjang lawatannya ke China.
“Terima kasih atas sokongannya sepanjang lawatan kami. Beliau merupakan anggota pasukan keselamatan China,” menurut hantaran itu.

Jin merupakan anggota Biro Perkhidmatan Khas di bawah Kementerian Keselamatan Awam China yang ditugaskan mengawal keselamatan Sheinbaum sepanjang berada di Shenzhen.
Beliau mula mendapat perhatian selepas rakaman video pada 16 November lalu memaparkan tindakannya membuka pintu kenderaan untuk menyambut ketibaan Sheinbaum di bandar itu.
Berpakaian seragam gelap, Jin dilihat sentiasa berada di sisi pemimpin Mexico berkenaan ketika menghadiri beberapa urusan rasmi sepanjang lawatan itu.
Penampilan menarik serta imej profesional ketika menjalankan tugas turut mencetuskan perbualan dalam kalangan pengguna media sosial, sehingga ada yang menggelarnya sebagai ‘pengawal peribadi wanita paling cantik’.
Jin dilaporkan bukan sahaja pernah ditugaskan mengawal keselamatan Sheinbaum, malah turut mengiringi beberapa tokoh kenamaan lain, termasuk bekas Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dan Pengerusi Kuomintang Taiwan, Cheng Li-wun, ketika lawatan mereka ke China.
Selain menghadiri sidang kemuncak APEC, Sheinbaum turut mengunjungi dua hospital di Shenzhen bagi meninjau penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan janji temu pesakit dan perkhidmatan konsultasi jarak jauh.
Beliau juga melawat sebuah restoran Mexico di Shekou untuk bertemu komuniti Mexico yang menetap di China.
Sheinbaum menyifatkan Shenzhen sebagai sebuah bandar yang mengagumkan, selain merakamkan penghargaan atas layanan baik yang diterimanya sepanjang lawatan berkenaan.
Sumber: Agensi

