Gambar Online

Nahas Tren Korbankan 68 Nyawa, Pemandu Kereta Api Sepanyol Lancar Mogok

MADRID – Pemandu tren Renfe melancarkan mogok bermula semalam bagi menuntut penambahbaikan aspek keselamatan sistem kereta api serta pelaksanaan perjanjian yang telah dipersetujui bersama pihak pentadbiran dan syarikat dalam sektor berkenaan.

Mogok anjuran Kesatuan Pemandu dan Pembantu Kereta Api Sepanyol (Semaf) itu berlangsung sehari selepas perlanggaran tren berhampiran Urda, di wilayah Toledo, mengorbankan 68 nyawa dan mencederakan lebih 100 orang. Kejadian itu turut disifatkan sebagai nahas kereta api paling buruk dalam sejarah moden Eropah.

Semaf tetap meneruskan mogok berkenaan meskipun tragedi itu serius selepas rundingan mengenai perjanjian keselamatan kereta api menemui jalan buntu.

Kesatuan itu mendakwa beberapa langkah yang dianggap sebagai keutamaan masih belum dilaksanakan walaupun pertemuan telah diadakan bersama Kementerian Pengangkutan, pengendali infrastruktur kereta api Adif, Agensi Keselamatan Kereta Api Negara dan Renfe.

Antara tuntutan utama Semaf ialah pelaksanaan protokol yang mengikat bagi menangani kecemasan cuaca serta situasi berisiko di landasan kereta api.

Kesatuan itu turut menuntut penyelarasan komunikasi operasi yang lebih jelas, selain menegaskan bahawa aspek keselamatan perlu diutamakan berbanding desakan untuk memastikan perkhidmatan kereta api terus beroperasi.

Sementara itu, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca nahas di Urda yang berlaku apabila sebuah tren dari Madrid menuju ke Seville merempuh tren lain yang berhenti di landasan pada pagi Rabu.

Menteri Pengangkutan Sepanyol, Óscar Puente, berkata tren yang membawa 147 penumpang dan dikendalikan syarikat swasta, Iryo, berhenti di landasan akibat kegagalan sistem komputer.

Menurut beliau, sekiranya berlaku kegagalan sistem, sebuah pusat kawalan yang beroperasi 24 jam di Madrid akan mengambil alih operasi. Bagaimanapun, pusat berkenaan membuat keputusan yang disifatkan tidak dapat dijelaskan apabila mengarahkan tren itu bergerak semula tanpa sebarang had kelajuan.

Iryo berkata, tren kendaliannya dirempuh dari belakang oleh sebuah lagi tren yang dikendalikan syarikat kereta api milik kerajaan Sepanyol, Renfe, yang membawa 397 penumpang.

Kekuatan perlanggaran itu menyebabkan beberapa gerabak terjunam ke cerun.

Saksi kejadian menceritakan mereka melihat penumpang menangis dan berlumuran darah, manakala ada antara mereka terperangkap di tempat duduk masing-masing ketika asap tebal memenuhi gerabak. Sebuah gerabak turut terbakar.

Susulan tragedi itu, kebanyakan parti politik mengambil keputusan menggantung kempen pilihan raya yang bakal berlangsung.

Pada malam kejadian, kira-kira 1,500 orang berhimpun di luar bangunan Kementerian Pengangkutan Sepanyol di ibu negara, dengan sebahagian besar penunjuk perasaan mendesak Perdana Menteri, Pedro Sanchez, dan Puente meletakkan jawatan.

Polis menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai selepas penunjuk perasaan membaling botol dan suar. Bagaimanapun, tiada kecederaan atau penahanan dilaporkan.

Sumber : Utusan Malaysia

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *