Gambar Dari Kosmo Online

Bandit Mengganas Di Nigeria, Lebih 50 Orang Terbunuh

ABUJA – Angka kematian akibat serangan sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah bandar pedalaman di timur Nigeria meningkat kepada sekurang-kurangnya 50 orang selepas lebih banyak mayat ditemukan, menurut mangsa yang terselamat dan Amnesty International (AI) kepada AFP semalam.

Pihak polis dan AI memaklumkan bahawa sebahagian mangsa lemas ketika cuba melarikan diri daripada serangan tersebut.

Sekumpulan lelaki bersenjata yang disyaki anggota kumpulan bandit atau penyamun menyerbu bandar Binnari, negeri Taraba, dan membunuh puluhan penduduk tidak lama selepas solat Jumaat. Mereka turut merompak serta membakar beberapa kedai.

Negeri Taraba terletak di antara wilayah timur laut Nigeria yang berdepan pemberontakan berpanjangan oleh kumpulan militan dan kawasan tengah negara itu yang bergolak akibat keganasan kumpulan penjenayah dikenali sebagai bandit.

Bandit di Nigeria didorong oleh kepentingan kewangan dan bukannya ideologi politik. Mereka menyasarkan kawasan luar bandar yang mempunyai kawalan polis terhad untuk melakukan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan serta membunuh mangsa.

“Jumaat lalu, kami menemui tujuh mayat selepas bandit menyerang komuniti kami.

“Hari berikutnya, kami menemui 43 lagi mayat di dalam sungai, menjadikan jumlah korban keseluruhan seramai 50 orang,” kata penduduk Binnari, Bashir Mamuda Musa.

Jumlah korban terbaharu itu turut disahkan oleh seorang lagi penduduk, Abdullahi Zakari.

“Ramai penduduk, termasuk wanita dan kanak-kanak, melarikan diri ke arah sungai. Malangnya, sebilangan mereka lemas,” katanya.

Sumber : Kosmo Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *