Haiwan Disyaki Buaya Dikesan Di Pantai Bagan Lalang, Orang Ramai Diminta Berwaspada
PUTRAJAYA – Orang ramai, khususnya pengunjung dan pelancong, dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti di persisiran Pantai Bagan Lalang susulan laporan mengenai penampakan haiwan yang dipercayai buaya di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai haiwan menyerupai buaya yang dilihat di pantai itu lewat petang semalam.
Menurutnya, haiwan berkenaan dilaporkan berada berhampiran sebuah pusat peranginan di Pantai Bagan Lalang.
“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak mengadakan aktiviti di persisiran Pantai Bagan Lalang, Sungai Pelek bagi keselamatan penduduk setempat dan pelancong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhizam berkata pihak polis akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menangani situasi berkenaan serta mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan orang awam.
Sumber : Metro Online

