DBKL Serbu Lima Pusat Hiburan, 52 Pengunjung Islam Diberi Notis Hadir Siasatan
KUALA LUMPUR: Seramai 52 pengunjung beragama Islam menerima notis daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminum minuman keras dalam operasi bersepadu di beberapa pusat hiburan sekitar ibu negara.
Operasi Ops Tebah Siri 5/2026 itu dijalankan dari malam 25 Julai hingga pagi 26 Julai lalu dengan penglibatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), JAWI dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Pemeriksaan melibatkan lima premis hiburan di sekitar Jalan Telawi, Bangsar, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Imbi, Bukit Bintang yang disyaki menjalankan aktiviti tanpa lesen atau melanggar syarat pelesenan.
Hasil operasi, DBKL melaksanakan tiga tindakan sitaan terhadap peralatan muzik serta mengeluarkan 10 notis kompaun atas pelbagai kesalahan, termasuk menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen dan melanggar syarat operasi premis.
Dalam operasi sama, AADK membawa lima individu ke ibu pejabat agensi itu selepas ujian saringan air kencing mereka didapati positif bahan terlarang.
Sementara itu, JKDM mengeluarkan dua notis kepada pemilik premis untuk hadir ke pejabat bagi tindakan lanjut berkaitan kesalahan eksais dan penjualan minuman keras tanpa lesen.
DBKL memaklumkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis mematuhi peraturan serta syarat lesen yang ditetapkan.
Untuk rekod, notis yang dikeluarkan JAWI kepada 52 pengunjung beragama Islam itu adalah bagi mendapatkan keterangan berhubung dakwaan meminum minuman memabukkan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
