PDRM Beku, Sita RM409.21 Juta Aset Milik Mafia Korporat
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan dan menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM409.21 juta dalam siasatan Op Viking berkaitan dakwaan kewujudan “mafia korporat” di Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan itu melibatkan 404 akaun bank bernilai kira-kira RM85.62 juta, selain 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) dan 70 akaun dagangan saham berjumlah RM323.59 juta.
Beliau berkata sebanyak lapan bidang hartanah dan 11 kenderaan turut dikenakan tindakan pembekuan dan penyitaan.
“Setakat 25 September 2026, seramai 70 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkenaan.
“Berdasarkan latar belakang dan identiti individu-individu saksi yang telah dipanggil untuk rakaman percakapan, tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat ataupun dikenal pasti bagi tujuan membantu siasatan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Rabu.
Saifuddin Nasution berkata siasatan itu dijalankan susulan laporan Bloomberg pada 12 Februari 2026 yang mendakwa wujudnya “mafia korporat” di Malaysia, termasuk dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh agensi penguat kuasa untuk menekan ahli perniagaan menjual saham syarikat pada harga rendah bagi tujuan penguasaan syarikat.
Menurutnya, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM membuka kertas siasatan pada 14 Oktober 2025 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Pada masa ini, siasatan Op Viking masih diteruskan bagi melengkapkan keseluruhan kertas siasatan.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa PDRM komited melaksanakan siasatan ini mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Sumber: Sinar Harian

