KDN Dedah 2,097 Warga Polis Ditangkap Bagi Pelbagai Kesalahan Sejak 2021
KUALA LUMPUR – Seramai 2,097 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah, samun dan rasuah bagi tempoh 2021 hingga Ogos 2026, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Kementerian itu memaklumkan jumlah berkenaan merangkumi 1,551 individu yang ditangkap atas kesalahan dadah, 64 individu bagi kesalahan samun serta 482 individu yang ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagi kesalahan dadah, semua tangkapan dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. Daripada jumlah itu, seramai 357 individu ditangkap pada 2021, diikuti 248 orang pada 2022, 245 orang pada 2023, 310 orang pada 2024, 256 orang pada 2025 dan 135 orang bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
“Bagi kesalahan samun pula, 10 orang ditangkap masing-masing pada 2021, 2022, 2025 dan lapan bulan pertama tahun ini, manakala 11 individu pada 2023 dan 13 orang pada 2024.
“Tangkapan warga PDRM oleh SPRM pula melibatkan 77 orang pada 2021, 86 orang pada 2022, 129 orang pada 2023, 53 orang pada 2024, 87 orang pada 2025 dan 50 orang bagi Januari hingga Ogos tahun ini,” menurut KDN dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai jumlah anggota polis yang ditangkap atas kesalahan dadah, samun dan rasuah sejak 2021.
Soalan itu turut meminta penjelasan mengenai status siasatan terhadap 12 anggota polis yang disyaki merompak mata wang kripto bernilai kira-kira RM200,000 daripada sekumpulan warga China di Country Heights, Kajang, pada 5 Februari lalu.
Berhubung kes berkenaan, KDN memaklumkan PDRM telah membuka kertas siasatan dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Sumber : Sinar Harian Online

