Kanak-Kanak Semakin Berisiko Alami Rabun Jauh Akibat Tabiat Penggunaan Skrin
KUALA LUMPUR – Masalah rabun jauh atau myopia dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan peningkatan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, seiring penggunaan telefon pintar dan tablet yang semakin menjadi sebahagian daripada rutin harian golongan muda.
Pakar Mata (Oftalmologi) dan Pakar Bedah Vitreoretina, Dr Anis Farhad Murshid berkata, Malaysia mencatatkan beban myopia yang tinggi, khususnya apabila kanak-kanak semakin meningkat usia.
Menurut beliau, peningkatan masalah berkenaan bukan sahaja berlaku di negara ini, malah turut membabitkan kanak-kanak di seluruh dunia.
Penggunaan Skrin Dan Kurang Aktiviti Luar Rumah Antara Faktor
Beliau menjelaskan bahawa antara faktor yang dikaitkan dengan masalah myopia ialah genetik, aktiviti jarak dekat yang dilakukan dalam tempoh panjang serta kekurangan masa untuk melakukan aktiviti di luar rumah.
“Aktiviti jarak dekat yang berpanjangan seperti penggunaan skrin berpanjangan berpotensi mengakibatkan masalah rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak.
“Apabila kanak-kanak asyik bermain telefon bimbit atau tablet, mereka akan kurang bermain di luar rumah.
“Kurangnya pendedahan kepada cahaya siang yang terang di luar rumah boleh meningkatkan risiko myopia dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
Anis Farhad berkata, kesan penggunaan skrin bukan hanya berkaitan dengan peranti itu sendiri, tetapi turut melibatkan pengurangan masa yang dihabiskan di luar rumah akibat tabiat tersebut.
Selain itu, penggunaan skrin secara berlebihan juga boleh menyebabkan ketidakselesaan mata seperti kekeringan, keletihan dan penglihatan kabur untuk sementara waktu.
Cahaya Biru Belum Terbukti Rosakkan Retina Secara Kekal
Mengulas kebimbangan ibu bapa mengenai pendedahan cahaya biru (blue light) daripada skrin, beliau berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan setakat ini, belum terdapat bukti kukuh bahawa pendedahan pada tahap penggunaan harian boleh menyebabkan kerosakan kekal pada retina kanak-kanak.
Bagaimanapun, penggunaan skrin pada lewat malam berpotensi mengganggu corak tidur kerana pendedahan kepada cahaya biru bersama rangsangan minda boleh menyebabkan kanak-kanak kurang mengantuk, tidur lewat atau memperoleh tempoh tidur yang lebih singkat.
Ibu Bapa Disaran Pantau Tabiat Anak
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya mengehadkan penggunaan skrin berdasarkan umur anak, memastikan mereka mendapat tidur mencukupi serta menggalakkan aktiviti dan masa di luar rumah.
“Berikan rehat berkala apabila anak melakukan aktiviti jarak dekat.
“Jika anak kerap mengecilkan mata, duduk terlalu dekat dengan skrin, mengadu sakit kepala atau penglihatan kabur, pemeriksaan mata adalah wajar,” katanya.
Sumber : Metro online

