AI Kesan Kelemahan Kritikal PHP, Organisasi Digesa Kemas Kini Sistem
TOKYO – Kerajaan dan syarikat di seluruh dunia menutup laman web masing-masing pada Khamis bagi melindungi sistem daripada serangan siber susulan penemuan kelemahan keselamatan kritikal dalam bahasa pengaturcaraan PHP oleh kecerdasan buatan (AI).
Menurut Wiz Research, firma keselamatan siber yang menemukan dua kelemahan berkenaan, PHP digunakan untuk mengendalikan kira-kira 70 peratus laman web di seluruh dunia, termasuk kedai dalam talian, portal berita dan perkhidmatan kerajaan.
PHP yang dicipta pada awal 1990-an pada asalnya merupakan singkatan bagi laman utama peribadi. Bagaimanapun, istilah itu kini merujuk kepada pemproses awal hiperteks dan menjadi asas kepada pelbagai platform reka bentuk web popular.
“Penemuan ini merupakan antara kelemahan keselamatan paling serius yang pernah dikesan dalam PHP, malah boleh dikatakan dalam sejarah perisian,” menurut satu hantaran blog Wiz.
Model AI yang semakin canggih kini berupaya mengesan kelemahan dalam kod komputer bahagian belakang sistem yang tidak disedari manusia selama bertahun-tahun.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan siber, dengan jumlah kelemahan perisian yang dikesan di seluruh dunia pada 2026 dijangka hampir dua kali ganda berbanding rekod tertinggi tahun lalu.
Pengatur cara PHP mengeluarkan kemas kini keselamatan perisian pada Rabu bagi menangani kelemahan berkenaan.
Agensi Keselamatan Negara Amerika Syarikat (NSA) menggesa organisasi supaya segera memasang kemas kini keselamatan pada laman web masing-masing atau memutuskan sambungan sistem yang terdedah daripada internet.
Gesaan sama turut disuarakan oleh pihak berkuasa dari China hingga Kesatuan Eropah (EU).
Sementara itu, unit perisikan ancaman Amazon, Amazon Threat Intelligence, memaklumkan bahawa pihaknya mengesan percubaan penggodaman yang berlaku sebelum kelemahan keselamatan PHP itu didedahkan kepada umum.
Sumber : Utusan Online

