Amaran Banjir Dikeluarkan Bagi Kawasan Berisiko Di Jerantut, Rompin
KUANTAN – Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran kemungkinan banjir di beberapa kawasan di Jerantut dan Rompin bermula 1 pagi esok hingga 11.59 malam Sabtu ini.
PRABN dalam kenyataan memaklumkan amaran itu melibatkan kawasan dalam lembangan sungai berkenaan, khususnya lokasi mudah banjir, kawasan rendah dan kawasan berisiko.
Menurut kenyataan itu, ramalan berkenaan dibuat susulan amaran hujan berterusan (Waspada) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia pada 8.30 pagi semalam serta berdasarkan model ramalan banjir JPS.
Di Jerantut, kawasan berisiko meliputi lokasi rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Lembangan Sungai Pahang, antaranya Perumahan Felda Jengka 24 di Blok 11, Taman Ria, Perumahan Sungai Jan, Felda Gelanggi 1 dan 3, Kampung Baharu, Kampung Besul serta Kampung Jerangsang.
Turut terjejas ialah Kampung Sungai Siam, Kampung Lata Kasah, Kampung Kuala Pengau, Kampung Kuala Teh, Kampung Batu Balai, Kampung Sempadan, Felda Sungai Retang, Felda Padang Piol dan Kampung Paya Garuk.
Di Rompin pula, kawasan berisiko dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Lembangan Sungai Rompin melibatkan Kampung Aur, Kampung Meripoh, Kampung Tebu Hitam, Pantai Bernas, Kampung Ayau, Leban Chondong, Kampung Gading dan Kampung Sarang Tiong.
Selain itu, kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Lembangan Sungai Pahang turut berisiko, termasuk Kampung Mikang, Kampung Buluh Nipis, Kampung Simpang Sepayang, Kampung Sepayang, Kampung Tebu Hitam, Kampung Tengah, Kampung Tekek dan Perumahan Murah Kampung Tekek.
Lokasi lain ialah Kampung Serinkin serta Kampung Janglau 1, 2 dan 3.
PRABN memaklumkan banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada masa yang diramalkan.
Sehubungan itu, penduduk khususnya di kawasan yang dijangka terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta agensi pengurusan bencana banjir.
Sumber: BH Online

