Gambar dari Kosmo Online

Bekas Eksekutif Kanan Didakwa Salah Guna Dokumen Untuk Tuntutan RM15,288

SHAH ALAM – Seorang bekas eksekutif kanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan wang pendahuluan dan membuat tuntutan daripada sebuah organisasi penyelidikan industri dan teknologi antara 2022 hingga 2023.

Mohd Nizam Ibrahim, 50, didakwa di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat organisasi penyelidikan industri dan teknologi berkenaan antara 22 April 2022 hingga 2 November 2023.

Mohd Nizam didakwa dengan curang menggunakan dokumen palsu sebagai dokumen tulen dengan mengemukakan dokumen sebut harga, dokumen tunai dan resit bayaran tunai daripada sebuah syarikat kepada organisasi berkenaan bagi mendapatkan wang pendahuluan diri serta membuat tuntutan berjumlah keseluruhan RM15,288.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Alimi Mustapha, kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 selain meminta tertuduh melaporkan diri di Pejabat SPRM Selangor.

Mohd Nizam yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia sudah dua tahun tidak bekerja dan kini bergantung kepada pendapatan sebagai pereka grafik bebas.

Dia turut memaklumkan perlu menanggung kos perubatan isterinya yang mempunyai ketumbuhan di tangan serta ibunya yang mengalami masalah jantung.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Sumber : Berita Harian Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *