Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar. - Foto Berita Harian

Suspek Utama Menyamar Sebagai Juruiring Raja Muda Selangor Ditahan

SHAH ALAM – Suspek utama kes penipuan penjualan kenderaan dan rumah menggunakan gambar Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ditahan di Johor Bahru, petang semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira 5 petang di sebuah kediaman yang dipercayai milik kenalannya.

Beliau berkata suspek yang bekerja sendiri itu dipercayai menyamar sebagai juruiring atau pengawal peribadi sulit Raja Muda Selangor bagi memperdaya mangsa.

“Suspek mula dijejaki polis selepas hilang bermula 13 Oktober lalu. Alhamdulillah hasil perkongsian maklumat orang ramai, polis berjaya membuat tangkapan ke atas suspek.

“Suspek utama ditangkap bersama dengan kenalannya iaitu pasangan adik-beradik yang dipercayai turut bersubahat dalam membantu menyembunyikan suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Shazeli berkata pasangan adik-beradik berkenaan masing-masing berusia 26 dan 27 tahun, dengan wanita berusia 26 tahun ditahan di Shah Alam manakala abangnya ditahan di Johor.

Beliau berkata siasatan mendapati kegiatan penipuan itu membabitkan enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor.

“Mangsa-mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang. Suspek menggunakan modus operandi sama untuk menipu mangsa.

“Polis Selangor kini berkolaborasi dengan Bukit Aman serta polis Kontinjen lain bagi mengesan saki-baki suspek lain yang dipercayai terbabit dan masih bebas,” katanya.

Shazeli menegaskan suspek utama tidak mempunyai sebarang kaitan sebagai staf istana atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan Institusi Diraja Selangor.

Terdahulu, beliau berkata suspek mengaku sebagai pegawai pengiring Tengku Amir Shah dan menggunakan gambar baginda untuk menawarkan penjualan kenderaan serta rumah kepada orang ramai.

Kegiatan itu mengakibatkan mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM960,020.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan membabitkan 15 laporan polis di seluruh negeri Selangor,” katanya.

Sumber: Berita Harian

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *