Dana Untuk Mangsa Bencana Indonesia Turut Dicemari Rasuah
JAKARTA – Dana yang diperuntukkan bagi membantu mangsa bencana di Indonesia didakwa disalahgunakan untuk kepentingan tertentu, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanan mekanisme pemantauan peruntukan kecemasan negara itu.
Pakar berpendapat, masalah yang terus berulang itu sebahagiannya berpunca daripada tanggapan bahawa bencana boleh dimanfaatkan sebagai peluang untuk meraih keuntungan melalui proses perolehan barangan dan perkhidmatan.
Rekod pengurusan bencana di Indonesia menunjukkan beberapa kes rasuah pernah berlaku, termasuk ketika tsunami melanda Aceh dan Nias, serta bencana gempa bumi dan tsunami di Palu dan Lombok.
Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia (KPK), Laode M. Syarif, yang kini mengajar di Universiti Hasanuddin Makassar, berkata kes rasuah berkaitan pengurusan bencana memperlihatkan pola yang berulang.
“Perkara ini berlaku kerana penggunaan kaedah pelantikan terus bagi perolehan barangan atau perkhidmatan, selain pengawasan yang tidak berfungsi,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa penyelewengan dana bencana membawa kesan besar kerana boleh menjejaskan kelancaran penyaluran bantuan kepada masyarakat yang terjejas.
Sejarah panjang rasuah bencana
Selepas tsunami melanda Aceh pada 2004, Indonesian Corruption Watch (ICW) mengesan penyelewengan bantuan sara hidup yang sepatutnya disalurkan kepada mangsa bencana.
Penyelewengan itu didakwa melibatkan pelbagai lapisan pentadbiran, bermula daripada ketua desa dan jabatan berkaitan sehingga pegawai daerah serta bupati. Jumlah dana yang dipercayai diselewengkan dianggarkan sebanyak 512.9 juta rupiah (RM116,070).
Di Palu, Sulawesi Tengah, kegiatan rasuah turut dikesan susulan kejadian gempa bumi dan tsunami pada 2018.
KPK mendapati Ketua Unit Kerja Sistem Penyediaan Air Minum (SPAM) Kecemasan, Teuku Moch Nazar, menerima rasuah daripada dua syarikat, iaitu PT Wijaya Kusuma Emindo dan PT Tashida Perkasa Sejahtera, berhubung kontrak pembinaan rangkaian paip air minuman untuk mangsa bencana.
Nazar didakwa menerima wang rasuah berjumlah kira-kira 2.9 bilion rupiah (RM656,273).
Kes rasuah berkaitan bencana turut dilaporkan di Mataram, Nusa Tenggara Barat, apabila anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) daripada Parti Golkar, Muhir, ditetapkan sebagai suspek berhubung penyelewengan dana pemulihan sekolah yang mengalami kerosakan akibat gempa bumi.
Sementara itu, di Kabupaten Siak, Riau, bekas Ketua Pelaksana Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD), Kaharuddin, dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun enam bulan kerana rasuah dana pengurusan bencana pada 2022.
Di Kabupaten Bogor pula, bekas pegawai BPBD, Sumardi, dituntut hukuman penjara 15 tahun selepas didakwa menyeleweng dana bantuan bencana alam berjumlah 1.7 bilion rupiah (RM384,680).
Penyelewengan dana bantuan bukan hanya berlaku di peringkat daerah, malah turut melibatkan pengurusan bantuan pada peringkat nasional.
Pada 2020, KPK menahan bekas Menteri Sosial yang juga ahli politik Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Juliari Batubara, berhubung kes rasuah melibatkan wang daripada pembekal bantuan sosial bagi menangani pandemik Covid-19.
Berdasarkan pengiraan KPK, kes rasuah bantuan sosial itu mengakibatkan kerugian kewangan negara sebanyak 127.5 bilion rupiah (RM28.85 juta).
Laode mengenal pasti dua faktor utama yang menyumbang kepada kejadian rasuah dalam pengurusan bencana yang terus berulang.
Faktor pertama ialah penggunaan kaedah pelantikan terus tanpa proses tender yang adil, telus dan bertanggungjawab. Faktor kedua pula ialah kelemahan pengawasan terhadap penggunaan dana bencana.
Sumber : Sinar Harian Online

