Lebih 3,000 Penduduk 12 Kampung Lega Terima Bantuan Hadapi Monsun Timur Laut
TUMPAT – Agihan makanan dan barangan keperluan oleh pelbagai pihak sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) memberikan kelegaan kepada lebih 3,000 penduduk daripada 12 kampung di kawasan kepulauan di sini.
Selain bergantung kepada bantuan yang disalurkan, sebahagian penduduk turut mengambil inisiatif membeli dan menyimpan stok makanan kering lebih awal untuk kegunaan sepanjang musim tengkujuh.
Penduduk Kampung Teluk Renjuna, Mohd Faiza Ibrahim, 46, berkata kebanyakan penduduk tidak keluar dari kampung ketika musim tengkujuh berikutan hujan berterusan serta peningkatan paras air sungai.
Katanya, keadaan menjadi lebih sukar sekiranya hujan disertai angin kencang kerana penduduk bimbang kejadian pokok tumbang berlaku, memandangkan kawasan perkampungan mereka di sepanjang delta Sungai Kelantan dipenuhi pokok kelapa.
“Keadaan bertambah sukar jika disertai dengan angin kencang yang dibimbangi berlaku kejadian pokok tumbang memandangkan perkampungan kami di sepanjang delta Sungai Kelantan dipenuhi pokok kelapa.
“Pengangkutan utama penduduk adalah bot dan jika daratan masih selamat digunakan, kami masih boleh bergerak menggunakan motosikal. Namun jika kampung dinaiki air, penduduk hanya berada di rumah sahaja.
“Kami bersyukur kerana setiap tahun, ada sahaja bantuan yang dihulurkan,” katanya.
Mohd Faiza ditemui ketika program agihan barangan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di pangkalan hadapan Kampung Teluk Renjuna, semalam.
Sebanyak enam bot yang membawa pelbagai barangan keperluan termasuk beras, minyak masak, sardin, gula dan teh digunakan untuk menghantar bantuan berkenaan.
Perjalanan sejauh 10 kilometer merentasi Sungai Kelantan itu bermula dari jeti Padang Kemahkotaan sebelum tiba di jeti Kampung Teluk Renjuna.
Sementara itu, pemilik kedai runcit, Mohd Husin Mohammad, 54, berkata kebanyakan stok barangan jualan di premisnya telah ditambah sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.
Menurutnya, selain makanan, petrol juga menjadi antara keperluan penting penduduk kerana bot merupakan pengangkutan utama mereka. Justeru, beliau memastikan kedai runcitnya sentiasa mempunyai bekalan bahan bakar berkenaan.
“Walaupun dalam musim tengkujuh dan hujan, saya perlu memastikan barangan dalam kedai runcit mencukupi dan jika perlu dilakukan tambahan stok, tiada masalah untuk saya mengemudi bot ke tanah besar untuk membuat pembelian kerana sudah biasa.
“Cuma persediaan lain yang saya perlu buat adalah mengalihkan barangan dalam premis ke tempat tinggi memandangkan setiap kali banjir, air akan melimpah ke darat dan memasuki kedai,” katanya.
Sumber : Metro Online

