Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari berkata kementerian tidak akan memberi lampu hijau kepada HYROX Kuala Lumpur melainkan semua penajaan dan penjenamaan berkaitan alkohol dihapuskan sepenuhnya. - Foto Bernama

HYROX KL 2026: KBS Tidak Lulus Permohonan Selagi Tajaan Alkohol Tidak Ditarik Balik

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan meluluskan penganjuran acara HYROX Kuala Lumpur 2026 selagi tajaan syarikat minuman beralkohol yang dikaitkan dengan acara itu tidak ditarik balik sepenuhnya.

Menterinya Dr Mohammed Taufiq Johari berkata permohonan penganjuran acara yang dijadual berlangsung pada 10 hingga 13 Disember ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) masih dalam proses dan belum mendapat kelulusan kementerian.

Beliau berkata KBS juga tidak menyalurkan sebarang peruntukan bagi penganjuran acara berkenaan.

Menurutnya, pendirian itu selaras dengan Kod Sukan Selamat yang melarang syarikat berkaitan produk tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol daripada menaja, mempromosi atau memaparkan cap dagangan dalam acara sukan yang diluluskan atau disokong KBS.

Sehubungan itu, penganjur perlu menarik balik sepenuhnya tajaan berkenaan, termasuk mengeluarkan semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan daripada saluran rasmi acara serta lokasi pertandingan.

Dalam pada itu, KBS mengingatkan bahawa Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 menetapkan syarikat perlu mendapatkan lesen daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia sebelum terlibat dalam aktiviti sukan.

Kegagalan mematuhi peruntukan itu boleh membawa hukuman denda antara RM50,000 hingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

KBS menegaskan peraturan berkenaan terpakai kepada semua penganjur tanpa pengecualian bagi memastikan persekitaran sukan yang selamat dan sihat untuk semua peserta.

Sumber: Astro AWANI

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *