Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah Tesla yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Kulim pada Isnin. - Foto PDRM

Wanita Maut Kereta Dirempuh Pemandu Tesla Mabuk Langgar Lampu Merah

KULIM – Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan elektrik (EV) Tesla yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Jalan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) 1, di sini, malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintenden Syamsul Sinring berkata dalam kejadian kira-kira 11.45 malam itu, mangsa Noor Lela Zainon, 39, yang memandu Proton Saga FL, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan di bahagian kepala.

Beliau berkata siasatan awal mendapati Tesla yang dipandu lelaki berusia 29 tahun itu dalam perjalanan dari arah Lebuh Perdana menuju ke Naga Lilit, manakala kereta mangsa pula bergerak dari arah Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) menghala ke Lebuh Perdana.

“Setibanya di persimpangan berkenaan, pemandu Tesla dipercayai tidak berhenti ketika lampu isyarat merah sebelum bertembung dengan kereta dipandu mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Syamsul berkata pemandu Tesla yang bekerja sebagai jurutera itu mengalami kecederaan pada tangan kanan.

Beliau berkata polis akan mengemukakan permohonan reman terhadap pemandu berkenaan pagi ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa pemandu Tesla berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian, Syamsul berkata ujian telah dijalankan dan pihak polis masih menunggu keputusan makmal.

Sumber: Sinar Harian

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *