MCMC Nasihat Orang Ramai Kemas Kini Sistem Operasi Telefon
CYBERJAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing bagi memastikan peranti mereka boleh menerima amaran kecemasan negara menerusi Sistem Amaran Awal (EWS) yang kini dilaksanakan secara berperingkat.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa langkah berkenaan penting bagi memastikan telefon pengguna memenuhi spesifikasi teknikal yang diperlukan untuk menyokong penerimaan amaran tersebut.
Menurut MCMC, EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS), yang membolehkan amaran kecemasan disampaikan secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi yang telah dikenal pasti.
“Sistem berkenaan tidak memerlukan pengguna memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan perkhidmatan khusus,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
MCMC menjelaskan bahawa keperluan minimum peranti untuk menyokong EWS ialah iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini, telefon Android 12 dan ke atas serta peranti Huawei yang menggunakan EMUI 16 atau versi terkini, tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir.

Sehubungan itu, pengguna turut disarankan supaya memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini selesai serta memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan, sekiranya fungsi tersebut berkenaan.
Dalam perkembangan sama, MCMC telah mengadakan sesi taklimat khas bersama Ketua-Ketua Pengarang media bagi memperkenalkan EWS, menerangkan mekanisme penyampaian amaran serta memperkukuh kerjasama dengan pihak media dalam meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat.
Sesi tersebut turut merangkumi demonstrasi menerusi ujian teknikal dalaman yang dijalankan di bangunan MCMC Cyberjaya.
MCMC menjelaskan bahawa ujian pada 19 November itu bertujuan menilai dan menambah baik sistem sebagai persediaan ke arah pelaksanaan yang lebih meluas. Sementara itu, ujian berskala lebih besar akan dilaksanakan secara berperingkat.
Pelaksanaan EWS melibatkan kerjasama antara MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memperkukuh keupayaan negara menyalurkan amaran kecemasan dengan lebih pantas dan tepat kepada kumpulan sasaran.
Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat rasmi serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya menerima amaran kecemasan.
EWS melengkapi saluran amaran sedia ada sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana.
Sumber : Sinar Harian Online

