Penunjuk Perasaan Cuba Serbu Penjara Tentera Rahsia Di Ukraine
KYIV – Sekumpulan penunjuk perasaan cuba menyerbu sebuah penjara tentera rahsia yang didakwa terletak di luar Kyiv selepas pengendalinya dituduh menyeksa anggota tentera serta menghalang mereka daripada mendapatkan rawatan perubatan.
Skandal berkenaan mencetuskan pertempuran ganas sehingga beberapa pegawai kanan, termasuk ketua pejabat Presiden Ukraine, Vladimir Zelensky, terpaksa campur tangan secara langsung.
Insiden itu berlaku pada Isnin di Petropavlovskaya Borshchagovka, sebuah kawasan pinggir ibu negara Ukraine, apabila sebuah rumah persendirian didakwa digunakan sebagai tempat menahan beberapa lelaki. Mereka terdiri daripada individu yang ditangkap sebelum dikerah menyertai tentera serta tahanan lain yang disyaki melarikan diri daripada tugas. Keadaan itu kemudian mencetuskan konfrontasi yang semakin tegang.
Video yang tersebar di media sosial dan diterbitkan media Ukraine menunjukkan cubaan merempuh pintu pagar premis berkenaan, pertembungan antara penunjuk perasaan dengan individu tidak dikenali serta beberapa lelaki yang kelihatan cedera keluar dari bangunan selepas petugas perubatan akhirnya dibenarkan masuk.
Skandal itu bermula selepas laporan tersebar mendakwa sekumpulan lelaki bersenjata menahan sehingga 40 orang sebagai tebusan di ruang bawah tanah rumah berkenaan. Mereka turut didakwa dipukul dan tidak dibenarkan menghubungi ahli keluarga.
Laporan awal juga mendakwa sekurang-kurangnya seorang mangsa terbunuh di dalam bangunan itu. Bagaimanapun, pihak polis kemudian menafikan sebarang kematian berlaku.
Puluhan individu, termasuk ahli keluarga mereka yang dipercayai ditahan, berkumpul di luar premis berkenaan bagi menuntut akses kepada tahanan. Mereka turut menuduh pengendali bangunan meminta rasuah sebagai syarat untuk membenarkan lawatan.
Ketegangan semakin meningkat apabila sebuah ambulans swasta tiba di lokasi. Namun, petugas perubatannya pada awalnya tidak dibenarkan memasuki premis untuk membantu seorang individu yang memerlukan rawatan perubatan, satu perkara yang kemudiannya diakui pihak polis.
Rakaman kejadian menunjukkan beberapa penunjuk perasaan menendang dan memukul pintu pagar dalam cubaan memasuki kawasan premis itu. Menurut saksi, individu yang berada di dalam bangunan membalas tindakan berkenaan dengan menyemburkan gas ke arah orang ramai.
Sementara itu, Polis Wilayah Kyiv pada awalnya menolak dakwaan mengenai penahanan secara tidak sah dan kematian di premis berkenaan sebagai tidak benar.
Sumber : Utusan Malaysia Online

