Sumber gambar dri Berita Harian Online

Pilihan Raya AS: Trump Dakwa Calon Demokrat Ada Kaitan Dengan Ekstremis Islam

PORT HURON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meningkatkan usaha mengaitkan calon Senat AS, Abdul El-Sayed, dengan ekstremisme Islam ketika berkempen di Michigan pada Ahad.

Trump membandingkan El-Sayed dengan individu yang terlibat dalam serangan 11 September 2001 (9/11), selain mendakwa pihak lawannya daripada Parti Demokrat sanggup membenarkan pengganas anti-AS memasuki negara itu.

“Saya di sini berusaha menghalang seorang pejuang jihad, anggota Ikhwanul Muslimin daripada menjadi Senator AS,” katanya ketika berucap di Port Huron, Michigan, sambil menerima sorakan daripada hadirin.

Jika memenangi pilihan raya, El-Sayed akan menjadi individu Muslim pertama yang dipilih ke Senat AS. Bagaimanapun, Trump berusaha menggambarkannya sebagai seorang Muslim radikal yang menentang AS.

Pada Ahad, Trump meneruskan retorik itu dengan menyamakan El-Sayed dengan penyerang yang merampas pesawat United Flight 93 ketika serangan 11 September 2001.

Michigan kini menyaksikan antara persaingan paling sengit bagi kerusi Senat AS menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November. Bekas Wakil AS daripada Parti Republikan, Mike Rogers, dan El-Sayed bersaing merebut kerusi kosong yang bakal membantu menentukan penguasaan di Dewan.

Dalam ucapannya pada Ahad, Trump turut membandingkan usaha menolak El-Sayed dengan tindakan Todd Beamer dan individu lain yang menentang rampasan pesawat berkenaan.

“Selepas 25 tahun, Michigan perlu bangkit dan melawan, sama seperti dilakukan Todd, untuk menghalang seorang jihad daripada memasuki Capitol,” katanya.

“Jika El-Sayed menang, beliau akan menjadi satu-satunya Senator yang perlu melalui pengesan logam sebelum dibenar masuk ke Senat,” kata Trump.

El-Sayed menolak tuduhan tersebut. Dalam satu iklan yang diterbitkan baru-baru ini, beliau mempertahankan agamanya dengan menyatakan, ‘Keimanan adalah sesuatu perkara yang paling sedikit terdapat di Washington’.

Rogers turut mendakwa El-Sayed mempunyai hubungan dengan Ikhwanul Muslimin, antara kumpulan Islamis tertua dan paling berpengaruh di dunia Arab.

Bagaimanapun, El-Sayed menafikan penglibatannya dengan kumpulan itu dan menyifatkan tindakan Rogers mempersoalkan kesetiaannya kepada AS sebagai sesuatu yang memalukan.

Dalam temu bual bersama rancangan NBC Meet the Press pada Ahad, Rogers berkata El-Sayed tidak memberikan jawapan yang mencukupi terhadap persoalan mengenai dakwaan berkenaan.

“Beliau calon yang sehaluan dengan Demokrat Sosialis AS, yang mempunyai kumpulan sokongan agak radikal yang tidak menyukai AS,” katanya.

Port Huron merupakan sebahagian daripada kawasan Michigan yang dimenangi Trump dalam pilihan raya presiden 2024, apabila beliau memperoleh lebih daripada 66 peratus undi.

Sumber : Berita Harian Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *