MuviiGrind Hargai Rider P-Hailing Menerusi Inisiatif Isi Minyak Percuma
KUALA LUMPUR, 12 Nov – Inisiatif penyedia platform penstriman drama vertikal pendek, MuviiGrind (MVG), untuk menyantuni komuniti penghantar makanan dan barangan (p-hailing) menerusi kempen “Isi Minyak Sampai Penuh Bro” menerima sambutan di luar jangkaan apabila program yang pada asalnya dirancang berlangsung selama sejam terpaksa dilanjutkan berikutan permintaan tinggi.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan di Stesen Shell Jalan Pahang, Titiwangsa itu bermula pada jam 3 petang dengan sasaran awal melibatkan 100 motosikal. Bagaimanapun, tempoh pelaksanaannya dilanjutkan sehingga jam 5 petang berbanding jadual asal yang sepatutnya berakhir pada jam 4 petang bagi membolehkan lebih ramai penunggang menikmati kemudahan pengisian petrol secara percuma.

Usaha berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan perbelanjaan harian penunggang p-hailing, malah turut menjadi tanda penghargaan terhadap komuniti pekerja gig yang memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi digital serta perkhidmatan penghantaran negara.
Bagi penunggang p-hailing yang menjadikan motosikal sebagai sumber pendapatan, penjimatan kos bahan api walaupun dalam jumlah kecil dapat membantu mengurangkan perbelanjaan operasi harian, terutama ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.
MuviiGrind, yang menawarkan kandungan drama vertikal pendek pada harga mampu milik di pasaran Asia, turut melihat penganjuran program seumpama itu sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat untuk memastikan perkembangan perniagaan digital berjalan seiring dengan usaha memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, MuviiGrind kini sedang menyusun strategi pengembangan kandungan menerusi penerbitan drama vertikal berasaskan kecerdasan buatan (AI), selaras dengan perubahan landskap industri hiburan digital yang semakin memanfaatkan teknologi bagi mempercepatkan proses kreatif dan penerbitan.
Pendekatan tersebut dijangka membuka peluang untuk menghasilkan lebih banyak kandungan kreatif, selain mengukuhkan kedudukan MuviiGrind dalam segmen hiburan digital berformat pendek yang semakin mendapat perhatian pengguna telefon pintar.
Susulan sambutan menggalakkan yang diterima, MuviiGrind dengan kerjasama Shell Jalan Pahang, Titiwangsa akan meneruskan kempen “Isi Minyak Sampai Penuh Bro” pada 18 November 2026 di lokasi sama. Penganjuran seterusnya itu sekali gus memberikan peluang kepada lebih ramai penunggang p-hailing untuk menikmati manfaat inisiatif berkenaan.
Orang ramai, khususnya komuniti p-hailing, boleh mendapatkan pengumuman dan perkembangan terkini menerusi akaun rasmi @MuviiGrind di Instagram, TikTok dan Facebook.
Sumber : Muviigrind

