Gambar tangkapan layar dari Instagram

Syed Saddiq Jawab Kritikan Bekas Menteri Indonesia Berhubung Isu Jerebu

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membalas kritikan bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi berhubung gesaannya supaya ASEAN memulaukan Indonesia susulan isu jerebu rentas sempadan yang berulang.

“Ini bukan soal Malaysia lawan Indonesia, bendera kita berbeza tetapi apabila sesak nafas deritanya sama,” katanya.

Syed Saddiq berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dianggap sebagai pertelingkahan antara dua negara, sebaliknya perlu ditangani menerusi tindakan berasaskan bukti terhadap mana-mana pihak yang terbukti mencemarkan alam sekitar.

Menurutnya, mana-mana syarikat dari Malaysia, Indonesia atau Singapura yang didapati membakar hutan demi keuntungan perlu dikenakan tindakan mengikut undang-undang Indonesia.

“Saya tidak akan menjadi pelindung pencemar walaupun (pihak berkenaan) dari negara saya sendiri. Jangan memilih bendera perusahaan Malaysia, Indonesia atau Singapura (dan) kalau terbukti membakar hutan untuk keuntungan, cepat ambil tindakan.

“Bendera bukan lesen untuk merosakkan alam. Mereka (pihak yang bertanggungjawab) beroperasi di Indonesia (tertakluk) di bawah undang-undang Indonesia. Kuasa (mengambil tindakan) di tangan anda (kerajaan Indonesia).

“Di Parlimen, saya sudah mendesak tindakan terhadap syarikat Malaysia yang (jika didapati) terbabit. Lihat ucapan penuh saya, jangan potong ucapan sampai terpotong kebenaran,” katanya menerusi perkongsian video di media sosial.

Beliau turut menegaskan bahawa pemilikan ladang berskala besar tidak boleh dijadikan bukti bahawa sesebuah syarikat bersalah menyebabkan kebakaran hutan tanpa bukti yang menyokong dakwaan itu.

Menyentuh mengenai SG Guthrie, Syed Saddiq mendakwa setakat ini tiada bukti menunjukkan pihak berkenaan menjadi pencetus kebakaran. Malah, menurutnya, syarikat itu mempunyai 67 pasukan dengan lebih 1,000 anggota terlatih, dron dan peralatan inframerah bagi menangani isu berkenaan, dengan perbelanjaan melebihi RM800,000 sebulan.

“(Selain itu), kalau mahu petik laporan Greenpeace jangan petik separuh cerita. Laporan itu merekodkan 19 titik sumber asap di konsesi syarikat KLK berbanding 6,811 yang lain.

“Bapak mahu kami hanya fokus kepada penyumbang 0.3 peratus daripada 99.7 peratus yang lain. Jangan lantang terhadap satu nama kemudian senyap terhadap yang lain,” katanya.

Syed Saddiq berkata, Malaysia turut menawarkan bantuan untuk menangani kebakaran hutan di Indonesia, termasuk pesawat, tiga helikopter dan anggota, namun mendakwa tawaran itu tidak mendapat maklum balas daripada pentadbiran negara berkenaan.

“Ini bukan Malaysia lawan Indonesia, ini rakyat yang mahukan udara bersih melawan pihak yang mengotorkannya. Apabila hutan dibakar untuk keuntungan, untung masuk ke akaun syarikat, asap masuk paru-paru rakyat.

“Jerebu tidak memilih mangsa. Ia tidak membezakan warna kulit, agama atau kewarganegaraan. Anak Malaysia sesak nafas, anak Indonesia juga sesak nafas. Bendera kita mungkin berbeza, tetapi keperluan kita untuk bernafas tetap sama. Jangan bela pembakar kerana benderanya, bela rakyat kerana nyawanya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Lutfi mengkritik Syed Saddiq susulan gesaan Ahli Parlimen Muar itu supaya ASEAN memulaukan Indonesia berikutan masalah jerebu rentas sempadan yang berulang.

Lutfi dipetik berkata, isu jerebu bukan peluang untuk meraih publisiti politik murahan. Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa simpati perlu diberikan kepada anggota bomba Indonesia yang terkorban ketika memadamkan kebakaran serta ratusan ribu rakyat negara itu yang terpaksa menyedut asap.

Beliau turut menegaskan bahawa syarikat Malaysia yang mengendalikan ladang di Indonesia perlu bertanggungjawab terhadap krisis berkenaan.

Sebelum ini, ketika membahaskan Belanjawan 2027, Syed Saddiq dilaporkan menggesa Malaysia menggerakkan negara ASEAN untuk menangani masalah jerebu.

Antara cadangannya termasuk menghentikan pembiayaan kepada syarikat yang dikaitkan dengan pembakaran terbuka serta menggerakkan pengguna supaya memberi tekanan kepada perniagaan yang terbabit dalam kebakaran berkenaan.

“Anda perlu menganggap mereka sebagai orang yang perlu dipulaukan di rantau ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *