Hospital Selayang Rekod Tiga Kejayaan Sambung Tangan Terputus Dalam Tempoh 18 Tahun
PETALING JAYA – Pasukan Jabatan Tangan dan Pembedahan Mikro Hospital Selayang berjaya menyambung semula kedua-dua tangan seorang pesakit yang terputus akibat kemalangan di tempat kerja menerusi pembedahan kompleks.
Kecederaan membabitkan kedua-dua tangan terputus merupakan kes yang amat jarang berlaku. Pembedahan seumpama itu dilaporkan hanya dilakukan sekitar dua hingga tiga kali dalam tempoh 30 tahun di pusat perubatan utama dunia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Hospital Selayang pula berjaya merekodkan tiga kes sedemikian dalam tempoh 18 tahun, sekali gus membuktikan kepakaran pasukan pembedahan mikro negara.
Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Dr. Rashdeen Fazwi Muhammad Nawawi, Dr. Syahril Rizal Arsad serta seluruh pasukan Jabatan Tangan dan Pembedahan Mikro Hospital Selayang atas kejayaan berkenaan.
“Kejayaan ini bukan sahaja satu pencapaian klinikal yang membanggakan, malah meletakkan kepakaran perubatan negara setaraf dengan pusat perubatan utama dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Hospital Selayang, pembedahan kompleks itu dilaksanakan semalam dan diketuai Ketua Jabatan Ortopedik, Datuk Dr. Rashdeen Fazwi bersama Ketua Unit Tangan dan Pembedahan Mikro, Dr. Syahril Rizal serta pasukan pakar dan petugas kesihatan.
Dr. Dzulkefly berkata, pembedahan mikro yang rumit itu memerlukan ketelitian teknikal yang tinggi, ketahanan fizikal dan mental serta koordinasi rapi antara pasukan multidisiplin.
Katanya, tindakan pantas turut diperlukan bagi memulihkan aliran darah serta menyambungkan semula struktur saraf, saluran darah dan urat pesakit.
“Kecekapan dan kepakaran luar biasa pasukan mikrosurgeri kita telah berjaya merekodkan tiga kes seumpama ini dalam tempoh 18 tahun.
“Saya amat berbangga dengan semangat dan dedikasi seluruh warga Hospital Selayang dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ini bukti kukuh bahawa sistem kesihatan awam kita dipacu oleh pakar-pakar berwibawa yang sentiasa komited mengembalikan kualiti hidup serta masa depan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Hospital Selayang memaklumkan kejayaan tersebut mencerminkan tahap kepakaran klinikal, ketelitian dan koordinasi pasukan multidisiplin dalam mengendalikan kes trauma kompleks.
Menurut hospital berkenaan, setiap tindakan dan keputusan klinikal memainkan peranan penting dalam usaha memulihkan fungsi anggota pesakit, selain memberikan harapan untuk menjalani proses pemulihan dan rehabilitasi.
Hospital Selayang turut menyifatkan kejayaan itu bukan sekadar pencapaian dalam bidang perubatan, malah menjadi bukti komitmen seluruh warganya dalam mengutamakan keselamatan, kesejahteraan dan kualiti hidup pesakit.
Sumber: Kosmo Online

