Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah) pada pelancaran Sistem Amaran Awal Nasional “MySiren di Bangunan Parlimen, hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching (tiga, kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah (tiga, kanan); Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (dua, kiri); Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (dua, kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Normas Awang (kiri). - Foto BERNAMA

MySiren Dilancarkan Hari Ini, Tiada Akses Kepada Data Peribadi Pemilik Peranti

KUALA LUMPUR – Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) yang dilancarkan hari ini hanya berfungsi menyalurkan notifikasi kecemasan kepada pengguna telefon mudah alih tanpa mengakses sebarang data peribadi pemilik peranti.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata sistem yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) bagi menghantar amaran secara langsung kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi ditetapkan, tanpa memerlukan pemasangan aplikasi atau pendaftaran pengguna.

Beliau berkata berbeza dengan sistem pesanan ringkas (SMS) yang menghantar mesej berdasarkan nombor telefon penerima, teknologi CBS tidak memerlukan sebarang maklumat atau data daripada peranti pengguna.

“Ia juga tidak membabitkan sebarang kos kepada penerima pesanan,” katanya selepas melancarkan MySiren di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Fahmi berkata ujian penerimaan amaran MySiren secara serentak di seluruh negara dijadualkan berlangsung pada 10.10 pagi, 29 November ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata MySiren berupaya menyampaikan maklumat dan amaran dengan lebih pantas serta serentak kepada semua peranti dalam kawasan liputan berbanding kaedah penghantaran SMS.

“Kalau SMS, ia akan melalui giliran (queue) daripada syarikat telekomunikasi. Sistem ini pula memintas proses berkenaan dan terus menghantar mesej melalui alat pemancar, dengan semua menara telekomunikasi boleh bertindak sebagai pemancar bagi amaran bencana.

“Jadi, semua pengguna dalam lingkungan menara atau pemancar yang aktif akan menerima maklumat sama pada waktu yang sama,” katanya.

Beliau berkata MCMC kekal sebagai agensi yang mengendalikan MySiren, manakala pihak berkuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut boleh mengakses sistem berkenaan.

Fokus amaran banjir, tanah runtuh

Fahmi berkata pada peringkat awal, MySiren akan memberi tumpuan kepada penyampaian amaran berkaitan banjir, tanah runtuh dan bencana alam sebelum diperluas kepada beberapa kategori maklumat lain.

“Antaranya termasuk kebakaran, kehilangan individu atau kanak-kanak serta perkara berkaitan PBT yang mempunyai sifat bencana,” katanya.

MySiren mula dibangunkan pada 2025 susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024, dengan kos keseluruhan berjumlah RM200 juta.

Sementara itu, MCMC dalam kenyataan memaklumkan simulasi sistem berkenaan turut dilaksanakan di pekarangan Bangunan Parlimen hari ini bagi menguji keupayaannya menyalurkan mesej berserta bunyi amaran secara langsung kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan ditetapkan.

Bagi memastikan kelancaran ujian penerimaan amaran secara serentak di seluruh negara pada 29 November ini, orang ramai disarankan mengemas kini sistem operasi telefon masing-masing kepada versi terkini atau sekurang-kurangnya iOS 27.2 bagi iPhone, Android 12 bagi peranti Android dan EMUI 16 bagi telefon Huawei.

Pengguna juga perlu memastikan tetapan amaran kecemasan seperti Government Alerts atau Wireless Emergency Alerts (WEA) diaktifkan pada peranti masing-masing.

“Penerimaan amaran adalah tertakluk pada keserasian peranti, tetapan telefon serta liputan dan ketersediaan rangkaian mudah alih 4G atau 5G,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan NADMA, agensi teknikal berkaitan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan sistem itu bersedia untuk beroperasi sebelum pelaksanaannya diperluas.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai MySiren menerusi laman sesawang rasmi MCMC di www.mcmc.gov.my/mysiren serta saluran media sosial rasmi suruhanjaya itu.

Sumber: BH Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *