TANGKAP layar video tular kejadian membabitkan wanita yang didakwa membuat kekecohan di sebuah pusat beli-belah. - Foto tular

Wanita Didakwa Ganggu, Pukul 2 Kanak-Kanak Di Pusat Beli-Belah Ditahan

KUALA LUMPUR – Wanita yang disyaki membuat kekecohan dan mengganggu pengunjung sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada 1 November lepas ditahan polis di Bandar Sri Damansara, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata wanita tempatan berusia 25 tahun itu ditahan pada 5.40 petang bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Pihak polis telah menahan seorang wanita warga tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes mengganggu pengunjung dan pelanggan di sebuah pusat beli-belah yang dilaporkan pada 1 November lepas.

“Hasil siasatan awal dan soal siasat mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang mengesan wanita berkenaan susulan beberapa laporan diterima berhubung tindakannya yang didakwa menolak dan memukul pengunjung pusat beli-belah itu.

Polis menerima tiga laporan berkaitan kejadian berkenaan, selain satu laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa wanita itu turut menolak dan memukul dua anaknya pada hari sama.

Sumber: Harian Metro

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *