Motosikal Dirempuh Kenderaan Tidak Dikenal Pasti, Dua Sahabat Maut
GEORGE TOWN – Dua sahabat maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan tidak dikenal pasti di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu mengorbankan seorang lelaki berusia 22 tahun dan seorang wanita berusia 20 tahun yang berasal dari Padang Serai, Kedah.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian berhampiran persimpangan menghala ke Jambatan Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kemalangan maut itu kira-kira jam 4.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari pusat bandar George Town menghala ke Jambatan Pulau Pinang.
“Sebaik tiba di persimpangan bertingkat menghala ke Jambatan Pulau Pinang dan USM, sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti merempuh motosikal mangsa.
“Kenderaan berkenaan dipercayai terus memecut melarikan diri dari lokasi kejadian sejurus rempuhan berlaku,” katanya.
Abdul Rozak berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahidatul Alyaa Nordin, di talian 019-6886106, katanya.
Sumber : Metro Online

