Konflik Asia Barat Dan Isu Pelaburan Taiwan Antara Agenda Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR: Kedudukan hutang negara dan kemampuan fiskal kerajaan dalam menghadapi kemungkinan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat, selain isu hubungan perdagangan serta pelaburan antara Malaysia dan Taiwan, menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) akan meminta Perdana Menteri memberikan penjelasan mengenai faktor yang menyebabkan hutang negara masih belum dapat dikurangkan ke tahap lebih mampan dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).
Beliau turut ingin mengetahui kedudukan fiskal semasa negara bagi memastikan kerajaan mempunyai keupayaan melaksanakan langkah intervensi untuk melindungi ekonomi serta kesejahteraan rakyat sekiranya konflik di Asia Barat terus meruncing.
Dalam sesi sama, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) akan meminta penjelasan Perdana Menteri berhubung laporan tindakan Taiwan menggantung rundingan pelaburan dengan Malaysia susulan kenyataan beliau yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China. Beliau turut ingin mengetahui kesan perkembangan itu terhadap hubungan perdagangan dua hala serta aliran pelaburan sedia ada antara Malaysia dan Taiwan.
Sementara itu, dalam sesi soal jawab lisan, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) akan meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan syarat khusus yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman menerusi kaedah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028. Beliau juga ingin mengetahui agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memantau pematuhan terhadap syarat berkenaan.
Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) pula akan meminta Menteri Ekonomi menyatakan perkembangan terkini pelaksanaan teknologi Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), khususnya berkaitan kapasiti penyimpanan, kemajuan pembangunan infrastruktur serta perancangan menjadikan Kerteh di Terengganu sebagai hab CCUS negara menjelang 2030.
Turut menjadi perhatian ialah pertanyaan Tan Kok Wai (PH-Cheras) kepada Menteri Luar mengenai tindakan susulan pelaksanaan Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China 2025, selain jadual penganjuran sidang kemuncak kedua.
Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) pula akan meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan kemungkinan memberikan kelonggaran kepada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) untuk melanjutkan tempoh pembelian padi ketika musim menuai. Beliau turut ingin mengetahui mekanisme pemantauan yang akan dilaksanakan bagi melindungi kepentingan serta pendapatan pesawah.
Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) turut meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan perancangan kerajaan untuk memperkukuh sistem pengairan dan saliran di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), khususnya bagi menghadapi keadaan hujan tidak menentu serta paras empangan yang rendah.
Antara perkara yang ingin diketahui termasuk penggunaan sistem pemantauan masa nyata, usaha memulihkan infrastruktur yang uzur serta penyediaan sumber air alternatif bagi memastikan jadual penanaman dapat dikekalkan.
Selain itu, Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) akan meminta Perdana Menteri menyatakan peratusan pengisian jawatan Persekutuan di Sabah dan Sarawak oleh anak tempatan, terutama dalam kumpulan profesional dan pengurusan. Beliau turut ingin mengetahui sasaran Borneonisasi bagi tempoh lima tahun akan datang.
Selepas sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan serta jawapan kementerian berhubung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 di peringkat jawatankuasa.
Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari dan dijadual berakhir pada 8 Disember ini.
Sumber : Metro Online

