Gambar Hiasan

GST Tidak Diperkenal Semula, Kerajaan Utamakan Beban Rakyat – Anwar

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) buat masa ini kerana sistem percukaian itu bersifat menyeluruh dan berpotensi membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan untuk tidak mengembalikan GST bukan dibuat atas pertimbangan politik, sebaliknya mengambil kira keperluan memastikan sistem percukaian negara tidak memberikan beban kepada rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Beliau menjelaskan bahawa hasil kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ketika ini mencatatkan 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu kadar yang sama seperti kutipan GST pada 2017.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan tiada keperluan untuk mengembalikan GST semata-mata bagi meningkatkan hasil kerajaan berbanding sistem percukaian yang sedang dilaksanakan.

“GST merupakan cukai menyeluruh. Maknanya, golongan miskin dan mereka yang berpendapatan sederhana turut dikenakan cukai, walaupun terdapat sedikit pengecualian terhadap beberapa ratus barangan. Namun, prinsipnya ialah SST dikenakan kepada peniaga, manakala GST dikenakan kepada semua. Ia merupakan cukai menyeluruh (broad-based tax).

“Jadi, saya tidak faham mengapa mereka yang memperjuangkan nasib rakyat mahu mengenakan cukai kepada rakyat. GST ialah cukai kepada sebahagian besar rakyat, manakala SST dikenakan kepada peniaga. Walaupun sebahagian kecil bebannya tetap disalurkan kepada rakyat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang meminta kerajaan menjelaskan sama ada GST mampu menjana hasil lebih tinggi untuk membayar hutang dan membangunkan negara, selain sama ada sistem itu lebih baik untuk perniagaan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, perbezaan jumlah perniagaan yang terkesan di bawah pelaksanaan GST dan SST menunjukkan kedua-dua sistem percukaian itu mempunyai pendekatan serta kesan berbeza terhadap ekonomi.

Katanya, kira-kira 700,000 perniagaan terkesan dengan pelaksanaan GST pada 2018, berbanding hanya 130,000 perniagaan di bawah sistem SST.

“Pada 2018, sebanyak 700,000 perniagaan terkesan dengan GST, tetapi di bawah SST pada tahun ini hanya 130,000 perniagaan.

“Jadi, pada pandangan saya, kita mempunyai pilihan sama ada mengenakan cukai kepada peniaga atau mengenakan cukai secara menyeluruh kepada rakyat. GST ialah cukai yang melibatkan rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan terbuka sekiranya pihak pembangkang mahu terus mengusulkan pelaksanaan semula GST.

“Kita boleh mengadakan kempen dan perbahasan secara terbuka antara GST dengan SST. Saya sendiri mengalu-alukan cadangan sedemikian supaya perbahasan dapat dilakukan dengan lebih mendalam dan rakyat turut didedahkan kepada pendekatan kedua-dua sistem percukaian itu,” katanya.

Menjawab pandangan sesetengah pihak yang membangkitkan kenyataannya sebelum ini bahawa GST merupakan sistem yang cekap dan telus (efficient and transparent), Anwar menjelaskan sistem itu boleh dilaksanakan apabila tahap pendapatan rakyat meningkat.

“Sekarang, masih ada rakyat yang berpendapatan RM1,500, RM1,700 dan RM2,000. Jika kita mengenakan GST dalam keadaan ini, mereka akan terbeban.

“Apabila pendapatan rakyat secara keseluruhannya meningkat, sekurang-kurangnya RM4,000, pelaksanaan GST mungkin lebih munasabah,” jelasnya.

Dalam masa sama, Anwar turut mempersoalkan sama ada pelaksanaan GST di negara-negara seluruh dunia dapat menjamin bahawa sistem percukaian itu tidak akan memberikan kesan negatif kepada rakyat.

“Perkara itu tidak boleh dijamin. GST ialah cukai kepada semua, manakala SST ialah cukai kepada peniaga.

“Saya memilih sistem cukai kepada peniaga, sementara Beluran (Datuk Seri Ronald Kiandee) memilih sistem cukai kepada semua. Itulah perbezaan antara kedua-dua sistem tersebut.

“Bagi saya, ini bukan soal pertimbangan politik, tetapi satu pertimbangan ekonomi makro yang penting dan turut dibahaskan di banyak negara, bukan hanya di Malaysia,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *