Jam itu akan dilelong oleh firma pelelong Henry Aldridge & Son di Devizes, Wiltshire pada 21 Nov 2026, dengan penjualan dilakukan oleh keluarga Mangan. - Foto X/Mayo.ie

Jam Poket Milik Penumpang Titanic Dijangka Dilelong Pada Harga Sehingga AS$78,900

LONDON – Seutas jam poket yang ditemukan pada jasad seorang penumpang kapal Titanic yang maut dalam tragedi karamnya kapal itu pada 1912 dijangka dilelong pada harga sehingga £60,000 (AS$78,900) di United Kingdom (UK), lapor PA Media/dpa.

Pemiliknya, Mary Mangan, 32, merupakan penumpang kelas ketiga kapal berkenaan yang karam pada April 1912, mengorbankan kira-kira 1,500 nyawa.

Mangan, yang berasal dari Ireland, menaiki Titanic bersama sekumpulan besar penumpang dari County Mayo, di barat Ireland, yang dikenali sebagai Addergoole 14.

Antara anggota kumpulan itu ialah Catherine McGowan, adik-beradik John dan Mary Bourke serta bekas isteri John, Catherine.

Mangan pernah menetap di Amerika Syarikat sebelum pulang ke Ireland pada awal 1912 untuk menziarahi keluarganya. Beliau menaiki Titanic di Queenstown, kini dikenali sebagai Cobh, di selatan Ireland.

Pelelong Andrew Aldridge berkata satu-satunya catatan yang diketahui mengenai Mangan ketika kapal itu karam datang daripada Annie Kelly, seorang mangsa yang terselamat.

“Kelly menceritakan bahawa beliau bersama Mangan dan keluarga Bourke ketika mereka bergegas menuju ke tangga yang boleh membawa mereka ke dek kelas kedua.

“Bagaimanapun, sama ada Mary berjaya sampai ke dek atas masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Jam poket berwarna kuning keemasan itu terukir dengan huruf awal nama pemiliknya, MM, namun mengalami hakisan teruk selepas terendam di Lautan Atlantik Utara.

Jasad Mangan ditemukan oleh kapal kabel CS MacKay-Bennett sebelum dikebumikan di laut pada 22 April 1912.

Jam berkenaan ditemukan bersama jasadnya dan kemudian diserahkan kepada keluarganya bersama barangan peribadi lain.

Ia baru-baru ini dipamerkan selama beberapa minggu bersama koleksi barangan peninggalan Mangan yang lain di Titanic Belfast, sebuah tarikan pelancongan di Belfast, Ireland Utara.

Jam itu akan dilelong oleh firma Henry Aldridge & Son di Devizes, Wiltshire, pada 21 Nov 2026, dengan penjualan dilakukan oleh keluarga Mangan.

Aldridge menyifatkan jam berkenaan mempunyai nilai ikonik kerana mekanismenya seolah-olah terhenti pada detik ia terendam di Lautan Atlantik Utara pada awal pagi 15 April 1912.

Beliau berkata jam itu juga mempunyai nilai sejarah kerana pernah dimiliki penumpang kelas ketiga, golongan yang kadangkala dilupakan dalam kisah tragedi Titanic.

Sumber: PA Media/dpa

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *