Gambar Online

Kebakaran Hutan Indonesia Ancam Warisan Purba Berusia Puluhan Ribu Tahun

MAROS-PANGKEP – Lukisan gua purba tertua di dunia yang ditemukan di Pulau Sulawesi, Indonesia, kini berdepan risiko kemusnahan susulan kebakaran hutan dan tanah (karhutla) terburuk di negara itu dalam tempoh lebih sedekad.

Ancaman itu timbul ketika operasi bersepadu di enam wilayah utama terus dipergiatkan bagi menangani kebakaran berkenaan.

Haba dan asap daripada kebakaran dikhuatiri menjejaskan karya seni purba yang berusia lebih 67,000 tahun itu.

Sebelum ini, penyelidik dari Universiti Griffith, Australia, menganggarkan lukisan yang menggambarkan figura menyerupai manusia sedang berinteraksi dengan seekor babi itu berusia sekurang-kurangnya 51,200 tahun.

LUKISAN batu menggambarkan seekor babi di sebuah gua di Maros-Pangkep, Sulawesi Selatan

Sementara itu, lukisan cap tangan berwarna kemerahan yang ditemukan di sebuah gua di Pulau Muna, berhampiran Sulawesi, dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 67,800 tahun.

Berhampiran gua di Maros-Pangkep, anggota bomba berusaha mengawal kebakaran ketika asap menyelubungi landskap batu kapur karst yang menjadi ciri utama Taman Negara dan Geopark Global UNESCO di kawasan berkenaan.

Anggota bomba, Muhammad Ikfar berkata, kebakaran berlaku berhampiran tapak bersejarah itu selama lebih seminggu pada awal bulan ini, dengan api dilaporkan menghampiri gua berkenaan pada jarak kira-kira 800 meter.

Menurutnya, lebih 270 hektar kawasan taman negara itu musnah dijilat api antara 30 September hingga 18 Oktober lalu.

Ahli arkeologi Universiti Griffith, Basran Burhan berkata, haba merupakan ancaman terbesar terhadap lukisan gua berkenaan kerana perubahan suhu boleh mempercepatkan proses kerosakan walaupun api tidak menyentuh permukaannya secara langsung.

Selain itu, asap kebakaran turut menghasilkan jelaga yang boleh menjejaskan kejelasan imej sehingga menyukarkannya dikenal pasti.

Basran menggesa supaya langkah mitigasi segera dilaksanakan bagi mengelakkan kehilangan khazanah arkeologi yang amat bernilai itu.

“Bukti penting dalam sejarah manusia yang terdapat di Maros-Pangkep berisiko lenyap sekiranya tiada tindakan segera diambil untuk memelihara warisan purba itu. Kehilangannya pasti menjadi satu kerugian besar,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *