Bekas Jurucakap Tentera Israel Akui Manipulasi Fakta Perang Gaza
BAITULMUQADDIS – Tentera Israel didakwa memanipulasi fakta berkaitan perang di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, berdasarkan pendedahan seorang bekas jurucakap unit tentera itu mengenai penglibatannya secara langsung dalam memilih serta mengubah maklumat yang disampaikan kepada media.
Ayelet Kroizer berkata, rakyat Palestin yang tidak bersalah sering dilabel sebagai ‘pengganas’. Menurutnya, kenyataan rasmi sengaja diolah bagi mendapatkan sokongan rakyat Israel serta meraih legitimasi antarabangsa terhadap perang yang disifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Kroizer membuat pendedahan itu menerusi kenyataan terbuka di platform X ketika mengumumkan pelantikannya sebagai jurucakap Breaking the Silence, sebuah pertubuhan Israel yang mengumpul dan mendokumentasikan kesaksian bekas anggota tentera mengenai salah laku ketenteraan di wilayah Palestin yang diduduki.
“Sepanjang perkhidmatan, saya memanipulasi maklumat yang disampaikan kepada media.
“Saya melihat bagaimana perkataan ‘pengganas’ turut digunakan terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah dan bagaimana kenyataan disesuaikan mengikut kumpulan sasaran serta objektif yang ingin dicapai,” tulisnya.
Beliau berkata, pengalaman sepanjang berkhidmat dalam unit berkenaan bukan sahaja mendedahkannya kepada keadaan sebenar di lapangan, malah memberinya gambaran tentang cara pihak tentera memilih untuk menyampaikan situasi tersebut kepada masyarakat umum.
Kroizer turut menuduh unit jurucakap tentera beroperasi seperti sebuah firma perhubungan awam dalam mengendalikan fakta, bukannya bertindak sebagai sebuah institusi awam.
Menurutnya, ketika berkomunikasi dengan masyarakat Israel, unit itu bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap angkatan tentera, manakala hak orang ramai untuk mengetahui kebenaran sekurang-kurangnya diletakkan sebagai keutamaan kedua.
Sebaliknya, kenyataan yang disasarkan kepada masyarakat antarabangsa bertujuan membentuk persepsi bagi mendapatkan legitimasi terhadap tindakan ketenteraan Israel.
Beliau turut mendedahkan bahawa pengumuman mengenai jumlah korban besar dalam serangan sering disertakan dengan kenyataan penafian yang bersifat standard.
“Saya belajar bagaimana melaporkan puluhan kematian dalam satu serangan dan secara automatik menambah bahawa kami kesal atas sebarang kecederaan terhadap individu yang tidak terlibat.
“Itulah rutin sepanjang perkhidmatan saya.
“Saya tidak pernah pandai berdiam diri apabila berdepan ketidakadilan, tetapi di sini, saya diminta melakukan kerja perhubungan awam untuk perkara itu,” katanya.
Kroizer yang dibesarkan dalam komuniti Yahudi ultra-Ortodoks menarik balik pengecualiannya daripada perkhidmatan ketenteraan tiga tahun lalu untuk menyertai tentera ketika perang bermula kerana percaya beliau sedang mempertahankan negaranya.
Beliau turut menyeru bekas anggota tentera lain supaya tampil mendedahkan pengalaman masing-masing sepanjang berkhidmat.
“Jika anda berkhidmat sepanjang perang ini, jangan berdiam diri juga,” tulisnya.
Sejak Oktober 2023, perang Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 175,000 yang lain, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di wilayah berkenaan.
Sumber : Utusan Malaysia

