Gambar Hiasan

Data 7.6 Juta Pengguna Waze Didakwa Bocor, Dijual Penjenayah Siber

KUALA LUMPUR – Pangkalan data yang mengandungi lebih 7.6 juta rekod pengguna aplikasi navigasi Waze didakwa diiklankan untuk dijual di sebuah pasaran web gelap oleh penjenayah siber.

Laporan syarikat teknologi keselamatan siber, ClearPhish, mendedahkan pangkalan data berkenaan didakwa mengandungi maklumat sensitif pengguna, termasuk nama, pengecam pengguna unik (ID unik), data lokasi sistem kedudukan sejagat (GPS) dan sejarah perjalanan.

Menurut laporan itu, data berkenaan dipercayai diiklankan untuk dijual oleh individu yang didakwa mencurinya, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan pengguna aplikasi tersebut.

“Sekiranya kesahihan data dapat dibuktikan, maklumat itu berpotensi dieksploitasi untuk pelbagai tujuan berniat jahat, termasuk menghendap individu, mengenal pasti rutin perjalanan serta merancang serangan bersasar,” menurut laporan itu.

Laporan berkenaan turut menyebut bahawa Waze sebelum ini pernah berdepan penelitian berkaitan keselamatan siber.

Penyelidik keselamatan siber, Peter Gasper, sebelum ini dilaporkan menemukan kelemahan pada antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) yang berpotensi dieksploitasi untuk menjejaki pergerakan pengguna secara masa nyata.

“Walaupun Google dilaporkan sudah membaiki beberapa kelemahan berkenaan, dakwaan terbaharu itu menimbulkan persoalan sama ada Waze masih mempunyai kelemahan keselamatan yang ketara,” menurut laporan itu.

ClearPhish turut memberi amaran bahawa keupayaan mengakses data GPS masa nyata dan ID unik boleh mendatangkan risiko serius sekiranya maklumat berkenaan jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Ini kerana data tersebut berpotensi digunakan untuk menjejaki pergerakan pengguna, memantau corak perjalanan atau menyamar sebagai individu tertentu bagi tujuan berniat jahat.

Sumber : Berita Harian Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *