Isu Mafia Korporat: Rafizi Bakal Beri Keterangan Di Bukit Aman
SHAH ALAM – Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan beliau menerima notis daripada Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman untuk hadir memberikan keterangan berhubung dakwaan mafia korporat serta pembayaran RM9.5 juta yang dikaitkan dengan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Ramanan.
Rafizi mendakwa kerajaan pimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH) menggunakan Seksyen 500 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan sebagai langkah untuk menakut-nakutkan beliau setiap kali membangkitkan isu mafia korporat dan tuduhan terhadap Ramanan.
Menurutnya, Ramanan juga sepatutnya mengambil tindakan sama sekiranya benar-benar mahu membersihkan namanya daripada dakwaan menerima rasuah berjumlah RM9.5 juta bagi menyelesaikan kes mafia korporat.
“Saya telah mendapat notis daripada Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman untuk menghadirkan diri bagi disiasat di bawah Seksyen 500 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan pada hari esok, jam 10 pagi.
“Seksyen 500 adalah berkaitan tuduhan fitnah jenayah (criminal defamation), sementara Seksyen 505 pula berkaitan tuduhan ucapan yang boleh menimbulkan huru-hara dan menggugat ketenteraman awam.
“PDRM membuka siasatan susulan satu laporan polis bertarikh 22 Oktober 2026 dengan nombor PANTAI/014638/26,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Laporan polis berkenaan dibuat susulan ceramah Rafizi di Selayang pada 20 Oktober 2026.
Dalam ceramah tersebut, beliau bukan sahaja mengulas isu mafia korporat dan dakwaan Ramanan menerima rasuah RM9.5 juta bagi menyelesaikan kes berkenaan, malah turut menyentuh peristiwa bekas Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dihadapkan ke mahkamah.
Rafizi turut memaklumkan bahawa beliau akan kembali ke Kuala Lumpur dan membatalkan acara kempen di Melaka pada Selasa bagi menghadiri sesi memberikan keterangan kepada pihak polis.
Jelasnya, situasi yang dihadapinya ketika ini mengingatkan beliau kepada beberapa siasatan dan dakwaan di mahkamah yang pernah dihadapinya ketika mendedahkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji, Felda dan National Feedlot Corporation (NFC).
“Saya juga pernah disiasat di bawah Seksyen 500 dan Seksyen 505 dalam kes 1MDB dan Tabung Haji. Malah, saya pernah disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dituduh menghina UMNO suatu ketika dahulu.
“Mahkamah membebaskan saya dalam semua kes tersebut. Skandal 1MDB, Tabung Haji dan Felda terbukti benar dan telah menjadi modal politik yang membantu PKR dan PH sejak sedekad yang lalu.
“Saya percaya masa akan menunjukkan bahawa kami dari Bersama telah melaksanakan tanggungjawab membantu masyarakat membanteras mafia korporat ketika parti-parti lain berdiam diri, meskipun terpaksa berdepan tekanan undang-undang seperti ini,” ujarnya.
Sumber : Sinar Harian Online

