Menteri Pengangkutan Anthony Loke

JPJ Rekod Lebih 133,000 Kesalahan Pemandu Warga Asing

KUALA LUMPUR – Sebanyak 133,081 saman telah dikeluarkan terhadap pemandu warga asing bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, termasuk 21,232 kesalahan memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 1,933 kes memandu tanpa Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) turut direkodkan.

Sementara itu, sebanyak 85 kesalahan memandu tanpa Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dicatatkan sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.

“Antara kesalahan lain ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada permit masuk atau International Circulation Permit (ICP), serta kesalahan membawa muatan berlebihan.

“Bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang, pendekatan penguatkuasaan berterusan dan operasi bersepadu dilaksanakan, termasuk pemeriksaan dokumen pemandu serta kenderaan,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang meminta penjelasan mengenai jumlah kesalahan yang direkodkan serta tindakan susulan bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang.

Tambah Anthony, tindakan turut dikenakan terhadap kenderaan yang melanggar undang-undang menerusi kerjasama Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya bagi kes yang melibatkan status imigresen atau kesalahan lain.

“Kementerian menegaskan tanggungjawab pemilik kenderaan dan majikan untuk memastikan hanya individu yang memiliki lesen memandu sah dibenarkan memandu di jalan raya.

“Sehubungan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus mempergiat operasi bersasar di lokasi dan sektor berisiko tinggi.

“Ia bagi meningkatkan pematuhan undang-undang dalam kalangan pemandu, pemilik kenderaan dan majikan, termasuk membabitkan warga asing,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *