Malware Ceroboh Jutaan Peranti Android TV, Google Ambil Tindakan
KUALA LUMPUR – Lebih 1.3 juta peranti set-top box (STB), yang kebanyakannya merupakan kotak Android TV, dikenal pasti dijangkiti malware atau perisian hasad sehingga menjadi sebahagian daripada botnet XCPE.
Botnet berkenaan ialah rangkaian peranti yang boleh dikawal dari jauh oleh penjenayah siber tanpa disedari pemiliknya.
Menurut laporan media antarabangsa, syarikat teknologi gergasi Google mengaitkan operasi itu dengan Videostrong Technology Co, sebuah pengeluar peranti Android yang berpangkalan di Shenzhen, China.
Syarikat berkenaan dipercayai telah menyembunyikan akses rahsia dalam perisian perantinya sejak peringkat pengeluaran.
Selain kotak Android TV, beberapa peranti lain turut terjejas, termasuk mesin karaoke, peranti telekesihatan dan papan tanda digital.
Peranti terbabit didakwa digunakan untuk menjalankan penipuan iklan, mencuri maklumat serta memanfaatkan sambungan internet pengguna tanpa kebenaran bagi menyalurkan trafik pihak ketiga.
Susulan penemuan itu, Google mengambil tindakan menamatkan kerjasama dengan Videostrong, melarang syarikat berkenaan daripada menghasilkan peranti Android yang mendapat pensijilan Google serta menutup pelayan yang digunakan untuk mengawal botnet tersebut.
Google menjangkakan tindakan berkenaan turut memutuskan akses kepada sekurang-kurangnya 10 juta lagi peranti yang telah diceroboh.
Sumber : Sinar Harian Online

